KUANTAN - Dua suri rumah di daerah ini rugi keseluruhan berjumlah RM297,500 selepas dipercayai menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud dan penipuan secara bersemuka.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kes pertama melibatkan seorang wanita berusia 67 tahun yang terpedaya dengan skim pelaburan dikenali sebagai P Glo Pro selepas melihat iklan melalui aplikasi YouTube pada 8 Disember lalu.
Menurutnya, suspek mendakwa pelaburan tersebut menawarkan keuntungan harian yang lumayan dan telah memasukkan mangsa ke dalam kumpulan WhatsApp bagi meyakinkannya.
"Susulan itu, mangsa menggunakan wang simpanannya telah membuat tiga transaksi berjumlah RM160,000 ke dua akaun bank yang diberikan suspek.
"Namun mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas suspek meminta bayaran tambahan untuk menebus kononnya keuntungan pelaburan sebanyak RM500,000," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam kes kedua, Yahaya memberitahu, mangsa berusia 57 tahun mengalami kerugian RM137,500 selepas didatangi tiga wanita ketika berada di bandar raya Kuantan bertanyakan alamat individu tidak dikenali pada Selasa.
Katanya, mangsa kemudiannya diminta untuk mengambil wang simpanan di rumah dan bank.
"Mangsa juga menyerahkan barang kemas yang dianggarkan seberat 250 gram dan emas 999 kepada suspek.
"Berdasarkan siasatan, mangsa mengesyaki dirinya dipukau selepas berada di rumah yang menyebabkan mangsa iaitu wang simpanan dan barang kemas," katanya.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Yahaya menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.
Tegasnya, masyarakat diingatkan tidak mudah percaya dengan orang yang tidak dikenali terutama yang menunjukkan perlakuan yang mencurigakan.
"Berwaspada dan tingkatkan kesedaran adalah langkah utama untuk menghindari tipu pukau," katanya.