KOTA BHARU - Tindakan kerajaan Pas Kelantan mewajibkan tujuh kategori pengusaha restoran mendapatkan pengesahan persijilan halal perlu diperhalusi semula kerana boleh merisikokan peniaga termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, langkah terbabit cenderung membebankan pengusaha besar seperti kopitiam yang mempunyai pembekal makanan dalam kalangan PKS kerana pertambahan modal, pengetahuan terhad selain pulangan lambat dalam kos persijilan hasil daripada pasaran mereka yang kecil.
Katanya, beliau memahami hasrat pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar-Raya Islam (MPKB-BRI) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dalam mempromosikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) tersebut namun sekiranya diaplikasikan secara wajib atau ‘paksaan’, boleh mewujudkan implikasi-implikasi negatif.
"Ada pembekal sukar menepati ketetapan pensijilan halal misalnya kopitiam yang mendapat makanan dari pembekal PKS iaitu mereka sebenarnya Melayu menghasilkan makanan seperti nasi dagang atau nasi kerabu dari rumah.
"Untuk perusahaan mendapat persijilan halal, pembekal juga perlu ada sijil halal, tiada jalan pintas dan mereka berisiko hilang pendapatan apabila sukar mendapatkan sijil halal, mungkin kopitiam itu tutup perniagaan seterusnya memberi kesan kepada peniaga kecil yang tidak dapat berniaga,” katanya pada sidang akhbar di sebuah kafe sini pada Rabu.
Tegas Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, keputusan Kerajaan Kelantan terbabit bukan sahaja boleh merugikan pengusaha-pengusaha kecil makanan yang berbilang kaum, tetapi juga membebankan rakyat Kelantan yang sedang bergelut dengan pelbagai cabaran ekonomi.
"Malah, memetik penggulungan perbahasan Parlimen saya sebagai Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Ekonomi dan Kewangan bahawa industri halal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disasarkan mencapai 8.1 peratus bersamaan RM137.6 bilion pada tahun 2025.
"Ini satu kejayaan yang dibanggakan oleh negara-negara dunia dan terbukti berkesan dengan pendekatan oleh kerajaan Perpaduan yang memberi kebebasan kepada pengusaha untuk membuat pilihan sama ada mahu mendapatkan sijil halal atau tidak,” katanya.
Justeru, beliau menyeru supaya keputusan itu diteliti semula supaya tidak memberi kesan buruk kepada industri makanan di negeri Kelantan dan menimbulkan kebimbangan pengusaha di negeri-negeri lain.
"Apabila mereka memulakan persyaratan ini, sudah tentu pengusaha di negeri lain bimbang jika perkara sama dilakukan di negeri masing-masing.
"Kerajaan Negeri seharusnya memberi ruang kepada pengusaha untuk memilih tanpa paksaan sekaligus membantu mengurangkan beban ekonomi yang sudah cukup berat dalam kalangan rakyat dan perniagaan kecil,” katanya.
Pada Disember tahun lalu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan, dan Hubungan Seranta negeri Kelantan, Mohd Asri Mat Daud mengumumkan syarat SPHM dikuatkuasakan MPKB-BRI dan diperluas kepada pihak berkuasa tempatan lain di negeri itu.
Tujuh kategori perniagaan terlibat ialah restoran, kiosk, medan selera yang beroperasi dalam lapangan terbang dan pasar raya serta kopitiam.
Restoran berantai yang mempunyai lebih daripada satu cawangan dan restoran makanan segera.
Selain itu, dapur hotel yang menyediakan sekurang-kurangnya sarapan pagi kepada pelanggan, kedai kek dan roti (premis yang menjual bahan mentah membuat roti atau membuat dan menjual sendiri roti), kilang memproses produk makanan, minuman, bahan gunaan, kosmetik serta pusat penyembelihan ayam.