ISKANDAR PUTERI - Seorang pemandu teksi memohon bantuan pihak berwajib bagi membantunya menangani gangguan ceti haram atau along yang menuntut pembayaran pinjaman peribadi anaknya berjumlah RM200,000.
Mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Khoo, 63, berkata, dia enggan bertanggungjawab atas pinjaman peribadi tersebut kerana tidak memiliki wang selain keadaan kesihatannya yang kurang baik sejak kebelakangan ini.
Malah katanya, dia yang baru sahaja keluar dari Hospital Sultanah Aminah, Oktober lalu kerana kanser usus yang dihidapinya, tinggal berseorangan di rumah berikutan isterinya bekerja di Singapura.
"Gangguan daripada along ini bermula sebaik saya keluar dari hospital pada Oktober, ramai yang cari dia (anak), hampir setiap hari hinggakan ada yang datang minta hutang RM5,000, RM6,000 dan kalau dijumlahkan lebih RM200,000.
"Saya pun dah setahun tak kerja dan terbaru pada 24 Disember lalu, kira-kira jam 2.30 petang, ketika saya berada di rumah dua lelaki yang tidak dikenali datang untuk kutip hutang.
"Mereka minta saya bayar hutang tersebut kerana gagal menghubungi anak tunggal saya itu," katanya ketika mengemukakan aduan berhubung perkara tersebut di Pusat Komuniti DUN Perling pada Rabu.
Hadir sama, Penolong Setiausaha DAP Johor yang juga wakil khas Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Ng Siam Luang.
Tambah Khoo, sudah lebih setahun dia tidak bekerja kerana sakit dan bergantung hidup dengan ihsan isteri, jiran dan rakan yang memberi makanan dan wang.
Khoo berkata, anaknya yang berusia 27 tahun sebelum ini bekerja di kedai makan di Singapura dan pernah juga meminjam along di republik itu.
Malah katanya, anaknya juga diburu along Singapura yang mengejar dan mengacaunya di tempat kerja sehingga majikan bertindak memberhentikannya.
"Saya tidak tahu sama ada anak saya sudah melunaskan hutang along di Singapura atau hutang along di Malaysia tetapi barang kemas, kereta dan motosikal anak sudah diambil along.
"Isteri saya yang bekerja sebagai pelayan restoran di Singapura tidak berani balik ke rumah disebabkan ancaman along dan saya juga bimbang along akan turut merosakkan harta benda jiran apabila mereka bertindak nanti.
"Saya juga terfikir untuk memutuskan hubungan dengan anak saya dan tidak lagi berhubung dengannya setelah kali terakhir kami bertemu beberapa minggu sebelum saya keluar hospital," katanya.