Sistem e-Daftar, e-Rep permudah penjejakan kes jenayah - Peguam Negara

Iklan
Jabatan Peguam Negara melancarkan dua sistem dalam talian inovatif iaitu e-Daftar dan e-Rep sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi digital kerajaan. Gambar kecil: Mohd Dusuki

PUTRAJAYA - Jabatan Peguam Negara (AGC) melancarkan dua sistem dalam talian inovatif iaitu Modul Daftar Kertas Siasatan (e-Daftar) dan Modul e-Representasi (e-Rep) sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi digital kerajaan.

Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar berkata, kedua-dua sistem tanpa kertas itu bertujuan meningkatkan kecekapan dalam pengurusan kes jenayah dengan membolehkan penjejakan lancar daripada siasatan kepada keputusan dan dilengkapi dengan amaran automatik untuk mengelakkan kelewatan prosedur.

Iklan
Iklan

"Sistem ini dilengkapi dengan ciri amaran yang akan memaklumkan kita menerusi e-mel sekiranya masa yang diperuntukkan untuk tindakan tertentu hampir tamat atau telah luput.

"Sistem ini juga dapat mengurangkan masa dan sumber yang diperlukan untuk menguruskan jumlah kes jenayah yang banyak, membolehkan pendakwa raya memberi tumpuan kepada aspek substantif tugas mereka," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada ucapan pertamanya selepas dilantik sebagai Peguam Negara November tahun lepas, pada Pembukaan Tahun Perundangan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Acara tahunan itu menilai pencapaian penting dalam menegakkan keadilan sepanjang tahun lepas dan berkongsi aspirasi dan visi badan kehakiman bagi tahun perundangan semasa.

Iklan

Mengenai e-Daftar, Mohd Dusuki berkata, setakat awal Disember 2024, sistem itu merekodkan 455,170 kertas siasatan dan digunakan oleh 10 negeri, 161 agensi dan 391 Timbalan Pendakwa Raya, dengan rancangan untuk memperluas sistem itu ke seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

"Sistem e-Rep pula akan menggantikan proses manual dalam mengendalikan representasi yang dikemukakan peguam dan mereka akan dimaklumkan secara automatik melalui e-mel dan status representasi boleh disemak secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata, AGC juga telah melancarkan sistem Laporan Keputusan Kes (LKK i-AGC) yang boleh diakses daripada sebarang peranti dan lokasi bertujuan memastikan laporan keputusan mahkamah rendah dihantar kepada Bahagian Perbicaraan dan Rayuan untuk arahan seterusnya kepada pendakwa raya berhubung tindakan seterusnya pada peringkat rayuan dan akan diperluas ke semua agensi berkaitan.

"Sehubungan dengan itu, sukacita kami kongsikan bahawa kami telah berjaya melaksanakan permohonan dalam talian melalui portal e-Services AGC untuk semua permohonan berkaitan dengan kebenaran Peguam Negara di bawah Seksyen 9 Akta 359, bermula pada 1 Ogos 2024," katanya.

Mohd Dusuki turut menekankan pelan pembangunan AGC tahun ini, termasuk mengkaji keperluan menubuhkan Unit Bahagian Perbicaraan dan Rayuan bagi Sabah dan Sarawak untuk rayuan jenayah, serta kewujudan 80 jawatan Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Persekutuan yang baharu, bagi memenuhi peningkatan bilangan kes dan mahkamah baharu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Mohd Dusuki enggan mengulas isu sama ada AGC telah menerima arahan Titah Adendum yang didakwa membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.

"Saya tidak akan komen," katanya tegas.

Pada Isnin, Mahkamah Rayuan dalam majoriti 2-1 telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan Titah Adendum Diraja yang akan membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah, kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan mengenai meritnya. - Bernama