KOTA BHARU - Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) membelanjakan kira-kira RM5 juta setahun untuk membantu golongan memerlukan terutamanya anak-anak yang kematian ibu bapa akibat pandemik Covid-19.
Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini seramai 977 penerima Bantuan Kasih YKM melalui dana yang turut dibantu oleh kerajaan itu.
"Yayasan juga berusaha menambah dana yang ada melalui pelaksanaan program kerana setiap tahun ada peningkatan penerima.
"Kita memulakan tahun baharu ini dengan menyantuni tiga keluarga di sekitar Pasir Mas dan Kota Bharu sebagai komitmen berterusan menjaga kebajikan anak-anak yatim dan yatim piatu yang terkesan dengan pandemik Covid-19," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni keluarga Ahmad Hadzlimi Nordin, 56, di Kampung Bechah Palas pada Rabu.
Selain itu, turut disantuni seorang ibu tunggal kematian suami akibat Covid-19 yang menyara empat anak sendirian dan seorang bapa tunggal yang menjaga empat anak.
Ismail Sabri berkata, sebanyak 35 keluarga membabitkan 105 penerima Bantuan Kasih YKM 2024 layak menerima bantuan ketika Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Kelantan.
"Mereka menerima bantuan wang tunai secara bulanan berbanding tahun lepas yang diberi secara tiga kali setahun.
"Anak-anak yang berusia di bawah 16 tahun menerima bantuan sebanyak RM2,000 setahun manakala remaja yang berusia 16 tahun sehingga tamat pengajian ijazah pertama menerima bantuan sebanyak RM2,500 setahun," katanya.