Pesara tentera didakwa cederakan dua anak tiri

Iklan
Nurul Haida dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret hari ini atas dua pertuduhan menganiaya dua anak tiri sehingga mengalami kecederaan dalam kejadian di Pengkalan Chepa, Jumaat lepas. Foto Bernama

KOTA BHARU - Seorang pesara tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini pada Rabu atas dua pertuduhan menganiaya dua anak tiri sehingga mengalami kecederaan dalam kejadian di Pengkalan Chepa, Jumaat lepas.

Tertuduh, Nurul Haida Mohd Lazin, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah dan Majistret Rais Imran Hamid.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun enam bulan dengan cara memukul mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian mulut dan telinga.

Bagi pertuduhan kedua di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.

Iklan

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di tingkat tiga sebuah rumah di Pengkalan Chepa pada jam 4 petang, Jumaat lepas.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama Seksyen 326A akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Mohamad Syamsul Ikhmal Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Sukri Mohamad.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri memohon jaminan sebanyak RM15,000 kepada tertuduh memandangkan mangsa adalah kanak-kanak manakala Sukri pula memohon jaminan minimum diberikan memandangkan anak guamnya adalah pesara pilihan tentera pada tahun lepas.

"Anak guam saya menjaga enam orang anak iaitu tiga anak kandung dan tiga anak tiri. Malah, selama empat tahun menjaga anak tiri, kejadian seperti ini tidak pernah berlaku,” katanya.

Mahkamah Sesyen kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada tertuduh dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan manakala Mahkamah Majistret membenarkan jaminan sebanyak RM3,000.

Mahkamah menetapkan 12 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - Bernama