KUALA NERUS - Beberapa kedai makan sekitar Kampung Tanjung, Batu Rakit dekat sini hanya menunggu masa menyembah bumi kerana sebahagian strukturnya telah musnah dilanda ombak besar.
Seorang peniaga, Ghazali Mohamad, 50, berkata, walaupun situasi semakin meruncing, dia terpaksa meneruskan juga perniagaan kerana bergantung sepenuhnya terhadap sumber pendapatan itu.
Menurutnya, sejak akhir-akhir ini, masalah hakisan ombak semakin kuat menyebabkan bahagian dapur kedai makan itu menunggu masa runtuh disebabkan bergantung sepenuhnya kepada binaan tambahan kayu.
"Masalah ini berpunca daripada hakisan di sepanjang pantai di sini melibatkan banyak gerai termasuk kediaman penduduk.
"Kalau tengok dari tepi keadaan kedai saya berniaga ini kelihatan tidak selamat, namun saya kekal bertahan dan akan berpindah jika keadaan semakin buruk," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Ghazali memberitahu, jarak kedai makannya dengan kawasan pantai kira-kira 200 meter ketika memulakan perniagaan di situ, enam tahun lalu.
"Waktu tu memang tempoh 'kegemilangan' kawasan ini sebab keadaan pantai di sini amat cantik dan menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
"Malangnya masalah hakisan yang semakin buruk menyebabkan ramai peniaga terpaksa berpindah ke tempat lain disebabkan kedai mereka runtuh dihanyutkan ombak.
"Dulu di bahagian belakang kedai ini ada sebuah sebuah kedai memproses ikan segar untuk dijadikan ikan masin, namun pemiliknya telah berpindah sejak minggu lalu kerana kedainya tidak mampu bertahan dan telah runtuh," jelasnya.
Kedai makan Ghazali yang menjual pelbagai jenis makanan seperti roti canai, nasi dagang dan nasi minyak mula beroperasi jam 6.30 pagi hingga 1 tengah hari.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Ahmad Hafiz Abdul Kadir, 48, berkata, masalah hakisan yang semakin ketara di kawasan itu sejak kebelakangan ini dikhuatiri akan bertambah buruk.
"Kami peniaga di sini tak pasti sampai bila boleh bertahan. Selagi boleh, kami akan terus berniaga seperti biasa kerana sudah mempunyai pelanggan tetap di sini.
"Buat masa terdekat ini, kami terpaksa ambil inisiatif sendiri dengan menambah guni pasir dan bina benteng menggunakan duit sendiri bagi mengurangkan impak hakisan," katanya.