PUTRAJAYA - Kerajaan akan mengkaji semula undang-undang berkaitan pengedaran dan penyalahgunaan dadah termasuk melibatkan hukuman mati mandatori.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penilaian semula itu termasuklah cadangan meminda hukuman mati mandatori kepada penjara seumur hidup.
Iklan
Iklan
"Kita kaji undang-undang (berkaitan dadah) kerana undang-undang sekarang ini amat keras iaitu kalau didapati sesiapa memiliki sekian (jumlah) dadah, maka hukuman yang boleh dijatuhkan adalah hukuman mati.
"Jadi banyak yang berpendapat ia tidak berkesan (dalam menangani kes dadah). Masih ada yang mencari duit yang tidak halal dengan mengedar dadah.
"Kita akan kaji sama ada dakwaan ini betul atau pun tidak dan jika kita dapati ada cara lain dalam undang-undang yang boleh mencegah penyalahgunaan dadah atau pengedaran maka, kita akan pinda undang-undang," katanya pada sidang media selepas melancarkan Bulan Antidadah Kebangsaan 2020 di Dewan Seri Endon Puspanitapuri di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, dalam masa yang sama mereka yang menjadi penagih tidak dianggap sebagai penjenayah.
Bagaimanapun katanya, adalah penting bagi semua pihak untuk memahami bahawa penyalahgunaan dadah merupakan perkara yang tidak baik dan mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga keluarga dan negara.