JITRA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merampas 1,049 produk pencuci pakaian berjenama disyaki tiruan dalam serbuan di tiga pasar raya di daerah Alor Setar, Sungai Petani dan Baling pada Selasa.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan bersama wakil pemilik cap dagangan berdaftar dilakukan susulan aduan dan risikan yang dijalankan sejak September 2024 di sekitar Kedah.
Beliau berkata, sejumlah pencuci pakaian yang disyaki tiruan ditemui di stor dan rak jualan premis dalam serbuan pada jam 11 pagi dilakukan KPDN Alor Setar, KPDN Cawangan Sungai Petani dan KPDN Cawangan Baling.
"Pegawai serbuan kemudiannya menyita 1,049 botol cecair pencuci pakaian berjenama yang disyaki tiruan untuk tindakan lanjut.
"Sebanyak 572 botol dirampas di Sungai Petani, diikuti 283 botol di Alor Setar dan 194 botol lagi di Baling dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM19,897.11," katanya pada sidang media di stor eksibit KPDN Kedah di sini pada Rabu.
Muhammad Nizam memaklumkan, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Beliau memberitahu, barang tiruan itu dipercayai dijual pada harga jauh lebih murah, iaitu sekitar RM18 berbanding produk asli yang berharga sekitar RM25.
Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa perbezaan jelas antara produk tiruan dan asli iaitu fizikal dan bau.
Beliau berkata, dari segi fizikal, produk asli mempunyai kemasan licin dan rapi, manakala tiruan kelihatan lebih kasar.
Selain itu, tambah Muhammad Nizam, cecair asli juga lebih wangi berbanding yang tiruan.
"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga pasar raya tersebut dipercayai mendapat bekalan dari sumber yang sama namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.
Sehubungan itu, katanya, KPDN Kedah mengingatkan mana-mana orang yang menjual barangan tiruan akan diambil tindakan tegas.
Beliau juga mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penjualan barangan tiruan ini.
Tambahnya, KPDN akan terus mempergiatkan pemeriksaan dan operasi selaras dengan gerakan massa yang diumumkan oleh kerajaan melalui inisiatif Kita Gempur.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Nizam memaklumkan, KPDN Kedah berjaya mengutip nilai kompaun lebih RM1 juta, manakala nilai barangan rampasan berjumlah lebih RM5 juta dalam operasi dilakukan sejak 1 Januari hingga 31 Disember lepas.