BERA - Dua pemuda Orang Asli berusia 17 dan 23 tahun ditahan susulan penemuan senjata berbahaya dalam sebuah kereta di tepi jalan di Kilometer (KM) 3, Jalan Triang 1 dekat Pos Iskandar di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, anggota dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah membuat penugasan ‘Op Perdagangan’ telah menahan kereta jenis Proton Iswara selepas melihat aksi mencurigakan kedua-dua lelaki tersebut kira-kira jam 12.41 tengah hari.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut telah menjumpai kira-kira 40 tandan buah kelapa sawit yang disyaki dicuri, satu senjata tajam, sebutir peluru 12 bore serta sebotol lut sinar berpenutup merah berisi cecair dipercayai air ketum.
"Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan iaitu memiliki senjata tajam dan 8(A) Akta Senjata 1960 iaitu memiliki peluru serta 30(3) Akta Racun 1952 kerana memiliki cecair disyaki air ketum.
"Tangkapan telah dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini (Rabu) bagi permohonan tahanan reman dan dibenarkan selama tiga hari," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera akan terus mempertingkatkan operasi serta tangkapan bagi membendung kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.