HULU SELANGOR - Air Terjun Serendah di sini masih ditutup kepada orang ramai sejak 28 September 2024 bagi memberi laluan terhadap kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam di kawasan rekreasi tersebut.
Pejabat Penerangan Daerah Hulu Selangor memaklumkan, walaupun penutupan itu telah dihebahkan, namun notis pemberitahuan di laluan masuk ke kawasan tersebut telah hilang dipercayai akibat sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.
Menurutnya, ia telah menimbulkan kekeliruan dan hasil pemantauan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mendapati, masih terdapat individu yang datang berkelah di kawasan terbabit.
"Walaupun penutupannya telah dihebahkan sebelum ini oleh pihak MPHS tetapi papan tanda serta notis yang dipasang di hadapan laluan masuk dilihat telah 'hilang' entah ke mana akibat sikap yang tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.
"Ini bukan saja akan mengelirukan orang ramai tetapi turut membimbangkan semua pihak terutamanya dari segi keselamatan pengunjung kerana menurut hasil pemantauan pihak MPHS masih terdapat mereka yang datang berkelah," katanya pada Selasa.
Tambah agensi itu, setakat ini, hanya Air Terjun Serendah dan Santuari Ikan Sungai Chiling di Selangor sahaja yang masih ditutup kepada orang ramai.
Ujarnya, Sungai Chiling dijangka dibuka semula selepas Hari Raya Aidilfitri, namun tarikh pembukaan Air Terjun Serendah masih belum dapat dimuktamadkan lagi.
"Diharap orang ramai dapat membantu memberikan kerjasama sebaiknya bagi memastikan usaha pihak MPHS dalam menaik taraf kemudahan awam sekitar lokasi air terjun berjalan dengan lancar tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya lagi.