Bantuan warga emas dibayar sebelum hari perayaan - Menteri Besar

Iklan
Aminuddin

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan menyalurkan inisiatif bantuan keceriaan warga emas berusia 70 tahun ke atas di negeri ini sebanyak RM200 seorang sebelum sambutan hari kebesaran atau perayaan masing-masing pada tahun ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun inisiatif berkenaan hanya diberikan kepada mereka yang layak dan telah mendaftar.

Iklan
Iklan

"Jika kedua-dua suami dan isteri berumur 70 tahun ke atas, mereka akan mendapat RM400. Contohnya penerima merupakan masyarakat Cina akan disalurkan sebelum sambutan perayaan mereka begitu juga dengan masyarakat lain.

"Apa yang perlu mereka lakukan ialah mendaftar dengan aplikasi N9 Digital jika belum mendaftar dan akan diuruskan penyerahannya serta diselaraskan oleh pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco negeri di Wisma Negeri pada Rabu.

Ujarnya, berdasarkan rekod pada tahun lalu kerajaan Negeri Sembilan telah menyalurkan bantuan sama kepada 37,537 warga emas dengan peruntukan berjumlah RM7.5 juta.

Iklan

" Kita akan meneruskan inisiatif-inisiatif lain pada tahun ini antaranya inisiatif belia berkahwin sebanyak RM500 dan bantuan kemasukan institut pengajian tinggi mengikut sijil atau mungkin akan ada pertambahan baru," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua ibu bapa di negeri ini diminta memohon bantuan Inisiatif Caruman (One Off) Skim Simpanan Pendidikan Nasional sebanyak RM100 bagi kelahiran baharu anak-anak Negeri Sembilan sepertimana diperuntukkan kerajaan negeri.

"Permohonan bantuan melalui inisiatif ini dilihat kurang mendapat perhatian dalam kalangan ibu bapa bagi kelahiran bayi 2024 susulan rekod kita hanya 206 orang yang memohon dengan jumlah peruntukan RM20,600," katanya.