PUTRAJAYA - Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendedahkan pernah dikritik, difitnah dan dilabel sebagai tidak Islamik atau musuh agama dalam usaha untuk memalukan beliau dan hakim-hakim lain.
Berkongsi perkara itu, Tengku Maimun berkata, ada juga pihak yang menggunakan suaminya sebagai alasan untuk mengenepikan beliau daripada mendengar prosiding mahkamah.
Namun wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim itu menegaskan, tindakan tersebut tidak mengganggu atau menghalangnya untuk melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.
"Tiada satu pun daripada mereka yang akan atau pernah dapat menembusi ujian hati nurani saya dan segala puji bagi ALLAH, saya tidak pernah bimbang disebabkan komen-komen ini.
"Saya di sini untuk menjalankan tugas dan komited untuk melaksanakannya dengan betul. Saya tidak akan tunduk kepada mana-mana individu, tidak kira setinggi mana (kedudukan) mereka untuk melakukan apa yang dituntut daripada saya," katanya pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025 pada Rabu.
Ucapan tersebut merupakan yang terakhir disampaikan beliau pada program tahunan Badan Kehakiman Malaysia selepas hampir enam tahun dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2019.
Tengku Maimun dijadualkan bersara wajib pada Julai depan di usia 66 tahun, namun khidmat beliau boleh dilanjutkan enam bulan lagi sekiranya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau yang mencatat sejarah sebagai wanita pertama dilantik ke jawatan itu mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara pada 6 Mei 2019.
Dalam pada itu, Tengku Maimun turut menyifatkan tempoh enam tahun yang dilaluinya penuh dengan peristiwa yang akan menjadi nostalgia selain mengakui lebih merasa lega berbanding sedih untuk bersara.
"Saya menantikan persaraan ini kerana benar-benar percaya yang saya akan meninggalkan badan kehakiman dalam keadaan yang lebih baik berbanding ketika rakan sekerja.
"Saya akan mempunyai banyak masa untuk cucu-cucu dan lebih mendalami hubungan berkaitan keimanan," ujarnya.