KUALA LANGAT - Seorang pemilik pusat asuhan kanak-kanak (taska) dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir ke Mahkamah Majistret Telok Datok di sini pada Rabu, kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen daripada Majlis Daerah Kuala Langat (MPKL).
Majistret Maslinda Selamat memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa MPKL untuk satu perintah waran tangkap terhadap individu berusia awal 40-an itu.
Iklan
Iklan
Individu itu selaku orang kena saman (OKS), berdepan pertuduhan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3, UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKL) 2007.
Prosiding ini dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kanan MPKL, Hasrizal Abd Rahim dan Ahmad Razali Abdul Manaf.
Sementara itu, menerusi kenyataan media, MPKL menasihati mana-mana syarikat atau individu yang mengusahakan taska dan pusat didikan kanak-kanak (tadika) supaya mendapatkan lesen dan kelulusan daripada MPKL.
Katanya, usaha itu akan mengelak mereka daripada berhadapan dengan tindakan undang-undang di mahkamah.
"MPKL juga mengingatkan masyarakat supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh MPKL sebelum menjalankan aktiviti perniagaan di sini," katanya.