TUMPAT - Pemilik gerai colek terkenal di Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor meninggal dunia di rumahnya di Kampung Ketil di sini pada Rabu.
Jihad Hussin, 70, atau dikenali dengan gelaran Pok Li Colek Bismillah menghembuskan nafas terakhir selepas terjatuh dalam bilik mandi pada jam 8.30 pagi.
Anaknya, Nur Omi Jihad, 40, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada adiknya yang memaklumkan berita itu dan bergegas mendapatkan penerbangan pulang dari Selangor ke Kelantan.
"Dua hari lepas, bapa ada menelefon saya mengadu dia demam.
"Bapa ada penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung serta sememangnya berulang-alik mendapatkan rawatan di hospital, tetapi hari ini terjatuh dalam bilik mandi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sementara itu, kematian Allahyarham menjadi tular di TikTok kerana colek buahnya yang enak selain keperibadiannya peramah dan suka bergurau.
Arwah juga seorang yang menepati waktu solat dan meminta izin dari pelanggannya yang beratur panjang untuk berhenti berniaga sekejap apabila azan bagi dia menunaikan solat.
Nur Omi juga anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia baru sahaja berpindah dan berniaga gerai colek buah seperti bapanya di Bandar Saujana Putra, Selangor dua bulan lalu manakala dua adik lelakinya juga turut berkecimpung dalam perniagaan sama di Kelantan.
Wanita itu memberitahu, akibat keadaan tidak sihat tersebut, bapanya itu sudah beberapa tidak berniaga dan hanya berehat di rumah di Tumpat sebelum meninggal dunia di sisi isteri, Mariam Sani.
Kata Nur Omi, bapanya sudah lebih 40 tahun berniaga colek di kawasan bebas cukai berkenaan dan dikenali ramai kerana sikap suka bersedekah.
"Dia selalu pesan supaya tidak berkira dalam berniaga, niat bersedekah dan selalu ingat rezeki Allah sudah tetapkan.
"Bapa sangat penyayang dan pemurah dengan semua orang selain mudah membantu,” katanya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketil, Pengkalan Kubor di sini kira-kira jam 6 petang.