RINGGIT mengakhiri peningkatan semalam apabila ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu susulan pengumuman data-data negara maju itu yang lebih positif dan menarik pelabur kembali menumpukan mata wang itu.
Pada jam 6 petang, ringgit turun kepada 4.5000/5050 berbanding dolar AS daripada paras 4.4850/4900, semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama, prestasi ringgit kebanyakannya mendatar berbanding dolar AS dengan gandingan AS$/MYR dalam julat RM4.4885 hingga RM4.5005.
"Pengumuman data lebih positif di AS pada malam tadi seperti penawaran pekerjaan dan Indeks ISM bagi sektor bukan pembuatan, telah melonjakkan asas bagi pelaksanaan dasar monetari lebih longgar dan berperingkat oleh pihak Rizab Persekutuan AS (Fed).
"Sehubungan itu, pasaran akan memantau maklumat akan datang seperti minit-minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan dan data pasaran tenaga kerja bagi Disember. Statistik gaji bukan perladangan pula akan diumumkan pada Jumaat dengan jangkaan ramai mengunjurkan pewujudan 154,000 pekerjaan pada Disember yang lebih rendah berbanding 227,000 dalam November,” katanya.
Mohd Afzanizam berkata, ADP Employment Change yang mengukur pewujudan pekerjaan dalam sektor swasta, akan diumumkan malam ini dengan konsensus menjangkakan 139,000 pekerjaan dalam Disember berbanding 146,000 bagi November.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih mengukuh berbanding mata wang utama lain pada akhir urus niaga hari ini.
Ini termasuk mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8449/8482 daripada 2.8458/8492 sebelum ini, naik berbanding pound Britain kepada 5.6020/6083 daripada 5.6341/6403 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6431/6483 daripada 4.6756/6808.
Ringgit juga diniagakan meningkat berbanding mata wang negara anggota ASEAN.
Berbanding baht Thailand, ringgit naik kepada 12.9949/13.0168 daripada 13.0045/0258 dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia pada 277.5/278.0 daripada 277.7/278.2.
Selain itu, ringgit meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.2919/2958 daripada 3.2983/3022 dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.70/7.72 daripada 7.71/7.72.- Bernama