BEREGU lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin bangkit selepas permulaan yang sukar untuk mengejutkan pasangan nombor empat dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada pusingan pertama Terbuka Malaysia di sini hari ini.
Pada aksi di Axiata Arena Bukit Jalil, pasangan bukan pilihan itu gagal menemui rentak permainan pada set pertama dan tewas 15-21 sebelum bangkit dengan sokongan padu ribuan penonton tempatan untuk memenangi set kedua 21-17.
Pasangan ranking ke-24 dunia itu meneruskan momentum mereka dan meningkatkan tempo permainan pada set penentuan terhadap bekas juara edisi 2023 itu untuk meraih kemenangan 21-13, sekali gus mengesahkan tiket ke pusingan kedua esok.
Menyentuh mengenai perlawanan hari ini, Yew Sin berkata walaupun mereka berjaya menyingkirkan Fajar-Muhammad Rian, mereka memilih untuk kekal rendah diri dan fokus pada perlawanan seterusnya.
"Kami berdua memang nak menang dan mengharapkan keputusan yang lebih baik kerana sebelum ini keputusan kami tidak memuaskan," katanya kepada pemberita di zon campuran.
Sebelum ini, mereka mengalami penyingkiran di pusingan pertama tiga kali berturut-turut tahun lepas menjelang pembukaan musim 2025, bermula dengan Terbuka Artik, Terbuka Denmark, dan Masters China.
Pada saingan pusingan kedua, Ee Yi-Yew Sin akan berdepan gandingan Korea Selatan, Jin Yong-Kang Min Hyuk yang mewaskan wakil Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh, 21-18, 21-14. - Bernama