Pemain muda golf remaja raih tempat kedua kejohanan dunia

Iklan
Muhammad Afham yang merangkul piala kemenangan di tempat kedua di AS.

PEMAIN golf muda negara dari Gua Musang, Kelantan, Muhammad Afham Othman meraih kejayaan membanggakan di tempat kedua kategori Lelaki Sekolah Pertengahan pada Kejohanan Golf Piala Dunia Remaja 2025 di Florida, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad lalu.

Muhammad Afham, 14, sekali gus mencapai sasaran sebelum ini untuk berada dalam kedudukan lima terbaik kejohanan dunia.

Iklan
Iklan

Menurut Muhammad Afham, dia amat gembira dengan pencapaian itu walaupun berasa sedikit ralat apabila tidak mencapai tempat pertama kategori terbabit.

"Ini hadiah termanis buat saya, saya sudah melakukan yang terbaik, tetapi tidak mendapat tempat pertama namun berpuas hati di kedudukan kedua.

Iklan
Muhammad Afham mengibarkan bendera Kelantan di AS sebaik memenangi kejohanan.

"Ini juga hadiah kepada ibu, bapa dan rakan-rakan serta semua pihak yang bertungkus-lumus menyediakan dana bagi memastikan impian saya menyertai kejohanan dunia tercapai,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Remaja terbabit beraksi dua hari dalam keadaan cuaca sejuk di AS dan mencatat keseluruhan 16 atas par dari 54 lubang 216 pukulan dalam saingan dengan enam lagi peserta dari luar negara kebanyakan AS.

Iklan

Muhammad Afham wakil Malaysia menang tempat kedua di belakang seorang lagi rakan senegara dari Pontian, Johor, Lim Jing Shen di tempat pertama manakala ketiga dimenangi Jeremy Zhang dari Massachusetts, AS.

Muhammad Afham (kanan) meraih kejayaan membanggakan pada Kejohanan Golf Piala Dunia Remaja 2025 di Florida, AS di samping Othman (kiri).

Kata Muhammad Afham, dia turut berdepan cabaran beraksi dalam keadaan cuaca sejuk serendah enam hingga sembilan darjah celsius yang diakui sedikit sebanyak mengganggu prestasinya.

"Apa-apa pun saya anggap ini pengalaman yang sangat berharga untuk saya melangkah lebih jauh dan menyertai lebih banyak kejohanan golf bertaraf dunia selepas ini,” katanya yang dijangka akan pulang ke tanah air pada Khamis.

Sebelum ini, anak ketujuh daripada sembilan beradik itu berlepas ke AS bersama bapanya, Othman Ismail, 64, dan jurulatih, Dinie Zakie apabila berjaya mengumpul dana RM50,000 persendirian serta daripada Kerajaan negeri Kelantan (RM15,000) untuk menampung kos pengangkutan juga tempat tinggal semasa kejohanan terbabit.

Hafiz al-Quran itu yang menuntut di Kolej Epsom di Bandar Enstek Nilai, Negeri Sembilan akan kembali ke dalam negara untuk memulakan sesi latihan bagi persediaan bersaing dalam kejohanan Terbuka Junior Antarabangsa Selangor bawah 18 tahun yang akan berlangsung di Sri Selangor Golf Club, Selangor pada Rabu depan.

"Seperti biasa, saya tidak meletakkan sasarkan di tempat pertama cukup berada dalam kelompok tiga terbaik.

"Pada masa sama akan terus memberikan aksi yang sehabis mungkin dalam setiap kejohanan yang disertai,” katanya.