Konsert Pinkfish: Cadangan saringan air kencing libat individu timbulkan syak sahaja

Iklan
Ng Suee Lim. Laporan Sinar Harian mengenai saringan ujian air kencing kepada pengunjung konsert.

SHAH ALAM - Cadangan pelaksanaan ujian air kencing sebelum memasuki konsert di Selangor hanya melibatkan individu yang menimbulkan syak sahaja, kata Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim.

Beliau berkata, cadangan itu sebahagian langkah awal bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak yang menghadiri acara hiburan di negeri itu.

Iklan
Iklan

"Sebagai contoh, sekiranya terdapat individu yang membawa barangan larangan seperti bahan terlarang atau dadah, pihak berkuasa dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhak mengambil tindakan sewajarnya.

"Pemain industri tidak perlu bimbang, prosedur operasi standard (SOP) memasuki konsert adalah seperti biasa dan bagi mengelakkan insiden tidak diingini berulang, pemantauan perlu diperketat lagi serta kerjasama pihak berkuasa dan PDRM amat diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, penjelasan itu dibuat untuk mengelakkan sebarang kekeliruan susulan laporan media berkenaan cadangan pelaksanaan berkenaan yang disyorkan kerajaan negeri dan mendapat perhatian baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Suee Lim berkata, kerajaan Selangor mengamalkan dasar progresif dan inklusif serta terbuka mengalu-alukan semua penganjuran konsert hiburan yang sihat di samping mengembangkan industri pelancongan yang memberi impak positif menjana ekonomi negeri.

Iklan

"Kami terbuka dengan sebarang maklum balas dan pandangan yang bernas daripada pihak berkepentingan terutamanya penggiat industri demi memastikan usaha ini dapat dilaksanakan secara harmoni dan mengambil kira kepentingan semua pihak,” katanya.

Pada Isnin, Suee Lim dilaporkan berkata, kerajaan Selangor akan mengesyorkan ujian air kencing dijadikan sebagai antara prosedur operasi standard (SOP) kepada pengunjung dalam usaha mengelakkan sebarang penglibatan dan pengambilan dadah ketika penganjuran konsert di negeri itu.

Ia susulan keputusan polis menangguhkan sementara kebenaran permit untuk penganjuran konsert di negeri itu sehingga siasatan kes kematian empat individu yang meninggal dunia selepas menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang Jaya selesai dijalankan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, arahan serta-merta itu berkuat kuasa sehingga pihaknya yakin penganjur dapat memberikan jaminan mereka boleh mengawal perjalanan konsert terutamanya menghalang elemen jenayah, seperti pengedaran dadah di konsert terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan polis sedang menyiasat punca kematian empat individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua wanita selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu itu setelah laporan polis berkaitan kematian mereka dibuat oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). - Bernama