Tunggu TLDM bawa peralatan dari Lumut untuk lupus bom - Polis

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung gesaan Ahli Parlimen Semporna yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan pantas melupuskan objek dipercayai bom yang ditemui dalam kawasan Taman Marin Tun Sakaran.

SEMPORNA - Proses memusnahkan bom tinggalan Perang Dunia Kedua yang ditemui di Pulau Sibuan di sini, akan dilakukan selepas peralatan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Lumut, Perak, tiba di daerah itu.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Sabri Zainol berkata, pasukannya telah dihantar ke lokasi bagi mengenal pasti objek tersebut sejurus menerima laporan.

Iklan
Iklan

"Kita sudah hantar pasukan kita ke lokasi untuk mengenal pasti objek tersebut.

"Ketika ini, kita masih menunggu pihak TLDM membawa peralatan dari Lumut untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan pantas supaya dapat melupuskan objek dipercayai bom yang ditemui dalam kawasan Taman Marin Tun Sakaran.

Mohd Shafie berkata demikian bagi memastikan pulau peranginan itu kembali selamat dan dibuka semula kerana dibimbangi memberi kesan kepada industri pelancongan daerah tersebut.

Iklan

Sinar Harian pada Selasa melaporkan penemuan objek seakan-akan bom dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua yang ditimbuni pasir di kawasan perairan Pulau Sibuan iaitu kira-kira 30 hingga 50 meter dari pesisir pantai ketika kerja pembersihan dilakukan di kawasan tersebut.

Susulan penemuan tersebut, pulau berkenaan terpaksa ditutup sementara untuk tindakan dan siasatan pihak polis bagi mengenal pasti objek yang ditemui itu.