PASIR MAS - Kisah duka terputus bekalan makanan kerana ketiadaan wang pada November lalu akhirnya membawa rezeki kepada 10 sekeluarga yang tinggal di sebuah rumah kecil di Kampung Bechah Palas di sini.
Berkongsi kisah mereka, Nur Syakirah Ahmad Hadzlimi, 28, berkata, ketika itu suaminya, seorang tukang rumah tidak dapat bekerja kerana musim tengkujuh dan hujan lebat.
Nur Syakirah yang juga seorang suri rumah buntu kerana tiga anak serta adik-adik perlu mengisi perut.
"Rumah kami tiada beras manakala ayah juga tidak sihat untuk bekerja kuat.
"Saya menghubungi seorang individu yang juga TikToker meminta bantuannya. Alhamdulillah ia membuka rezeki untuk kami," katanya.
Kisah mereka kemudian tular dan mendapat perhatian Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyantuni mereka pada Rabu.
Sementara itu bapanya, Ahmad Hadzlimi Nordin, 56, berkata, kehidupannya bersama lima anak, tiga cucu dan seorang menantu berubah selepas kematian isteri pada Jun 2021 akibat pandemik Covid-19.
Menurutnya, sebelum ini dia hanya bekerja buruh namun kini tidak mampu lagi melakukan kerja-kerja berat dan hanya berharap kepada menantu dan anak sulung.
"Pendapatan mereka juga tidak seberapa dengan gaji antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan dan masih ada komitmen lain yang perlu dilakukan," katanya.
Menurut Ahmad Hadzlimi, kunjungan YKM dapat mengurangkan bebannya sekeluarga selepas dua anaknya menerima bantuan kewangan sebanyak RM200 sebulan.
Dalam pada itu, Ahmad Hadzlimi berharap anak bongsunya, Mohd Syazwan, 12, yang disahkan autisme dapat meneruskan persekolahan.
"Sebelum ini saya ada berurusan dengan sebuah sekolah di sini namun dimaklumkan Mohd Syazwan tidak dapat menyambung persekolahan kerana lewat mendaftar," katanya.
Ismail Sabri ketika ditemui pemberita memberitahu, dua anak Ahmad Hadzlimi akan menerima bantuan sebanyak RM200 sebulan.
"Mereka juga akan menerima bantuan ketika perayaan dan persekolahan. Seorang anak Ahmad Hadzlimi yang menunggu keputusan peperiksaan akan dipantau dan jika layak ke institusi pengajian tinggi akan dibantu sehingga tamat belajar," katanya.