Lelaki maut depan restoran kena 4 das tembakan

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai kejadian seorang lelaki maut dipercayai ditembak di sebuah restoran di Taman Setia Indah pada Rabu. Gambar kecil: Kumar

JOHOR BAHRU - Empat kesan tembakan ditemui pada badan lelaki yang maut ditembak di hadapan sebuah kedai makan di Taman Setia Indah di sini pada Rabu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, satu pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah telah ditubuhkan untuk menyiasat secara menyeluruh kes terbabit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pasukan terbabit juga akan mengenalpasti semua individu terlibat dalam kejadian berkenaan.

"Kira-kira jam 12 tengah hari, polis menerima maklumat berkaitan kes bunuh membabitkan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an di hadapan sebuah kedai makan di Taman Setia Indah.

Iklan

"Kes diklasifikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.

Kumar meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau membuat komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta dengan tujuan menimbulkan kegusaran kepada awam.

Iklan

Katanya, masyarakat diminta agar tidak panik dengan kejadian yang berlaku itu.

"Polis memberi jaminan bahawa kejadian yang berlaku merupakan kes terpencil dan tiada kaitan dengan isu keselamatan atau ancaman kepada negeri ini.

"Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan kejadian dan berhubung terus di talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di 07-2182323 atau menghubungi pegawai penyiasat kes Asistan Superintenden Nor Azizi Indzam di talian 013- 7878771," katanya.

Sebelum itu, seorang lelaki dilaporkan maut dipercayai ditembak di sebuah restoran di Taman Setia Indah di sini pada Rabu.

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa sedang makan tengah hari bersama rakannya.

Tular sebuah video berdurasi 11 saat menunjukkan orang ramai dan kenderaan polis serta anggota berada di lokasi kejadian.