SHAH ALAM - Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa kerajaan berpotensi ‘jatuh’ jika segala keterlanjuran, kelemahan dan konflik dalam yang dihadapi tidak diperbaiki.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan tidak akan jatuh hanya disebabkan penulisan dikeluarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, tuduhan dilakukan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang mendakwa Pas cuba menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tersasar sama sekali.
"Pas berasa hairan dengan respons melulu dan rumusan sewenang-wenang Anthony Loke yang mendakwa Presiden Pas cuba mengheret DAP dalam isu Titah Adendum.
"Bacaan teliti tulisan itu mendapati ia sama sekali tidak menyebut atau mengaitkan DAP, baik secara tersurat atau tersirat dengan Titah Adendum, Lembaga Pengampunan ataupun dengan isu pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, DAP mendakwa bahawa Pas cuba mengaitkan parti yang dianggotainya itu dalam isu Titah Adendum dan menyifatkan ia sebagai keji dan mainan politik ulangan.
Anthony Loke berkata, Pas hanya pandai menyalahkan pihaknya dalam apa sahaja isu dengan slogan 'Semua Salah DAP'.
Malah, beliau menjelaskan, pemimpin DAP khususnya anggota Kabinet tidak terlibat dalam titah berkenaan ekoran isu pengampunan merupakan urusan Lembaga Pengampunan yang tidak melibatkan Jemaah Menteri.
Mengulas lanjut, Takiyuddin memberitahu bahawa tuduhan dilemparkan parti itu tidak memeranjatkan sama sekali kerana sejak sekian lama sentimen yang sama membentuk naratif standard DAP terhadap Pas untuk tujuan politik.
"Bersekali dengan naratif ini, DAP juga sangat terkenal dengan naratif ‘victim mentality’ sebagai helah menyorok keengganan dan ketidakmampuannya meminta maaf atau mengambil tanggungjawab ke atas tindak-tanduknya sendiri.
"Selain itu, minda yang sama juga bertujuan mewajarkan sikap sewenang-wenang, kejam, tidak berhati perut, tidak peduli atau gasar kelakuannya terhadap orang lain, terutama pihak-pihak yang dianggap musuh,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menjelaskan penulisan Abdul Hadi hanya menyifatkan kegagalan kerajaan menghormati dan mematuhi Titah Adendum sebagai perbuatan derhaka terhadap institusi Raja Berperlembagaan.