Rasuah pemeriksaan kenderaan berat: 13 lagi pemeriksa kenderaan ditahan

Iklan
Seramai 13 lagi pegawai pemeriksa kenderaan di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di ibu negara ditahan SPRM kerana disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Seramai 13 lagi pegawai pemeriksa kenderaan di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di ibu negara ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat.

Menurut sumber, kesemua lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang semalam dan jam 10 pagi hingga 3 petang Rabu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati mereka dipercayai menerima wang rasuah antara RM150 hingga RM1,500 sebulan secara tunai daripada ‘runner’ sebagai balasan membantu meluluskan pemeriksaan kenderaan di tempat mereka bertugas.

"Penahanan mereka adalah susulan tangkapan enam pegawai pemeriksa kenderaan pada Isnin lepas dan juga hasil soal siasat yang dijalankan oleh SPRM terhadap seorang ejen yang diserahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini,” katanya.

Iklan

Sumber itu memaklumkan setakat ini SPRM telah menahan 22 individu termasuk 19 pegawai pemeriksa kenderaan, seorang ejen dan dua ‘runner’ membabitkan sindiket berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.

Iklan

Beliau berkata, semua 13 pegawai pemeriksa kenderaan yang ditahan semalam dan hari ini akan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas direkodkan keterangan. - Bernama