Trump cadang tukar nama Teluk Mexico kepada 'Teluk Amerika'

Iklan
Donald Trump. Foto Agensi

WASHINGTON - Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan hasrat untuk menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika, lapor agensi berita Jerman dpa.

"Kita akan menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika, yang kedengaran sangat indah.

Iklan
Iklan

"Nama itu sangat cantik. Dan sesuai. Sangat sesuai," katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Mar-a-Lago, Florida, pada Selasa

Nama Teluk Mexico yang terletak di pantai selatan Amerika Syarikat dan pantai timur Mexico itu telah digunakan sejak abad ke-16.

Iklan

Sebarang perubahan nama akan memerlukan rundingan diplomatik dengan Mexico dan mungkin juga Cuba, memandangkan hujung negara kepulauan itu juga berada dalam teluk tersebut.

Trump sebelum ini mencadangkan nama gunung tertinggi di Amerika Utara, Denali, dikembalikan kepada nama asalnya, Gunung McKinley.

Iklan

Gunung tersebut secara rasmi dinamakan semula sebagai Denali semasa pentadbiran pendahulu pertama Trump, Barack Obama daripada Demokrat, atas permintaan negeri Alaska selepas bertahun-tahun pertikaian berhubung sensitiviti budaya.

Trump dijadual mengangkat sumpah sebagai presiden buat penggal kedua pada 20 Januari ini.

Dalam isu lain, Trump tidak menolak kemungkinan menggunakan tentera untuk menguasai Terusan Panama atau Greenland.

Apabila ditanya oleh seorang wartawan sama ada beliau boleh memberi jaminan kepada dunia bahawa beliau tidak akan menggunakan kuasa tentera atau ekonomi, Trump menjawab:"Tidak."

Republikan itu, yang akan kembali ke Rumah Putih, berkata pada sidang akhbar di Mar-a-Lago, Florida:"Saya tidak akan memberi komitmen kepada perkara itu sekarang.”

Trump sebelum ini menyifatkan can transit di Terusan Panama sebagai sangat tidak adil dan menyeru agar pengurusan laluan itu dikembalikan kepada AS sekiranya ia tidak dilayan secara adil.

Terusan itu, yang merupakan antara laluan perdagangan paling penting di dunia, dibina oleh AS pada awal abad ke-20 sebelum pengurusannya secara beransur-ansur diserahkan kepada Panama.

"Terusan Panama adalah penting untuk negara kita. Ia kini dikendalikan oleh China," keluh Trump.

Trump juga menyatakan minat terhadap Greenland, sebuah pulau Artik yang luas milik Denmark, beberapa kali. Anak Trump, Donald Trump Junior, kini sedang mengadakan lawatan peribadi ke Greenland.

Mengenai pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin, beliau berkata, beliau bercadang untuk membincangkan usaha menamatkan perang Rusia di Ukraine.

Pertemuan itu mungkin akan berlangsung selepas majlis angkat sumpahnya.

Apabila ditanya mengenai Tarikh perbincangan itu, beliau enggan memberikan tarikh tertentu tetapi menyatakan,"Saya tahu Putin ingin bertemu."

Trump turut menyuarakan harapan agar perang tersebut berakhir dalam tempoh enam bulan."Saya harap jauh lebih awal daripada enam bulan," tambahnya.

Semasa kempennya, Trump sering memuji hubungannya dengan Putin dan mendakwa beliau mampu menamatkan perang di Ukraine"dalam masa 24 jam," tanpa pernah mendedahkan butiran dakwaan tersebut.

Ukraine telah bertahan terhadap pencerobohan besar-besaran Rusia dengan bantuan Barat selama hampir tiga tahun. Kyiv bimbang apabila Trump mengambil alih jawatan, bantuan AS akan dikurangkan secara mendadak.

Dalam ucapan Tahun Baharunya, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky membuat rayuan kepada Washington agar tidak memotong bantuan kepada Ukraine.

Menurut Trump, negara NATO sepatutnya membelanjakan 5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk pertahanan, meningkat daripada sasaran semasa sebanyak dua peratus.

"Mereka semua mampu, tetapi mereka sepatutnya membelanjakan pada kadar lima peratus, bukan dua peratus.

"Saya yang membuat mereka bayar dua peratus," katanya.

Trump sering mengkritik NATO, mendakwa banyak ahli Eropah mengambil kesempatan dan tidak membayar sumbangan yang sewajarnya, sebaliknya bergantung pada pembayar cukai AS.

Pada perhimpunan kempen tahun lalu, Trump berkata beliau akan"menggalakkan" Rusia"melakukan apa sahaja yang mereka mahu" terhadap negara NATO yang tidak memberikan peruntukan sewajarnya untuk pertahanan.

Ahli Konges AS bakal bentang rang undang-undang tukar nama Teluk Mexico

MOSCOW - Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Marjorie Taylor Greene berkata, beliau akan membentangkan rang undang-undang untuk menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika pada pagi Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Presiden terpilih AS, Donald Trump, sebelum ini menyatakan pada Selasa yang beliau bercadang untuk menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika sebagai sebahagian dasar wilayah pentadbiran baharunya.

"Ini teluk kita. Nama yang sebenar ialah Teluk Amerika dan seluruh dunia harus merujuknya sedemikian. Sebaik sahaja presiden Trump (yang akan dilantik) membuat pengumuman itu, saya mengarahkan pasukan saya untuk merangka rang undang-undang tersebut. Rang undang-undang ini siap disusun dengan majlis perundangan dan sedia untuk dikemukakan pagi Khamis," menurut Greene di platform X.

Ahli kongres itu menggesa Kongres agar serius melaksanakan mandat agenda Trump dan bertindak pantas untuk merealisasikannya.

Greene, wakil Republikan dari Georgia mendakwa kartel Mexico menggunakan teluk itu untuk"menyeludup manusia, dadah, senjata dan entah apa lagi," sementara rakyat Amerika terpaksa menanggung kos untuk melindungi perairan maritim daripada"ancaman ketenteraan negara asing."