PEMILIK Liverpool, Fenway Sports Group (FSG) dilaporkan tidak berminat untuk menjual kelab kepada mana-mana pihak termasuk manusia terkaya di dunia, Elon Musk.
Dalam satu pendedahan mengejutkan, bapa kepada bilionair tersebut, Errol Musk mengesahkan bahawa anaknya berminat untuk mengambil alih kelab dari Merseyside itu dan menjadi pemilik mutlak yang baharu.
Ketika ditanya sama ada ketua Tesla itu berminat dengan perjanjian tersebut, Errol menjawab:"Oh, ya. Tetapi itu tidak bermaksud dia akan membelinya. Sudah tentu dia mahu. Siapa sahaja pasti mahu, termasuk saya. Tapi sekarang saya tidak boleh bercakap mengenainya lagi kerana mereka (FSG) akan meningkatkan harga!"
Bagi menjustifikasikan dakwaannya, Errol memberitahu Times Radio bahawa ibunya (nenek Elon) dilahirkan di Liverpool dan bertuah kerana mereka membesar bersama anggota The Beatles.
Namun, menurut The Mirrors, FSG tidak dihubungi atau menerima sebarang tawaran daripada Elon Musk yang mempunyai kekayaan bernilai AS$425 bilion (RM1.911 trilion).
Pada September 2023, FSG bersetuju menjual sebahagian kecil saham kelab bernilai antara £82 juta (RM460 juta) hingga £164 juta (RM921 juta) kepada Dynasty Equity.
Namun, sebarang penjualan besar-besaran dalam masa terdekat dianggap tidak mungkin berlaku, memandangkan Liverpool kini mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL) dan belum kalah dalam Liga Juara-Juara.
Nilai kelab dijangka meningkat jika mereka berjaya memenangi salah satu trofi tersebut.
Forbes sebelum ini menganggarkan Liverpool bernilai sekitar AS$5.4 bilion (RM24.9 bilion).