JAKARTA - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun berdepan detik mencemaskan apabila kepalanya tersangkut pada tiang konkrit di rumahnya dalam kejadian di Kecamatan Rangkasbiung, Kabuten Lebak, Wilayah Banten, Indonesia.
Bagaimanapun tindakan pantas anggota pemadam kebakaran (Damkar), kepala kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan dengan selamat.
Rakaman video yang tular di platform X menunjukkan beberapa anggota polis dan Damkar menggunakan jek kereta bagi merenggangkan tiang yang mengepit kepala kanak-kanak itu.
Pada masa sama, kedengaran suara kanak-kanak itu menangis menahan kesakitan semasa proses berkenaan.
Selang beberapa minit, kepala kanak-kanak yang tidak dinyatakan namanya berjaya dikeluarkan dengan selamat tanpa mendatangkan kecederaan.
Bagaimanapun, punca kepalanya tersepit di antara tiang tersebut tidak dinyatakan, tetapi kanak-kanak itu dikatakan sedang bermain di lokasi kejadian.
Beberapa netizen yang memberikan komen lucu mengenai kejadian itu dan mereka faham dengan perasaan kanak-kanak ingin meneroka di setiap ruang sekeliling mereka.
"Mujurlah dia diselamatkan dengan cepat, kalau tidak entah apa yang akan berlaku terhadapnya," kata seorang netizen. - Agensi