TAHANAN rumah merupakan salah satu bentuk hukuman atau penahanan terhadap individu, untuk berada di lokasi tertentu yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib dengan pengawasan ketat.
Undang-undang ini telah wujud dan diguna pakai oleh beberapa negara luar sebagai alternatif kepada penahanan di penjara.
Buat masa ini, Malaysia belum mempunyai undang-undang yang membenarkan tahanan rumah.
Difahamkan, ia untuk pesalah-pesalah atau banduan yang melakukan kesalahan kecil selain dapat membantu mengurangkan jumlah banduan dan mengurangkan kos.
Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat rang undang-undang (RUU) akta baharu tahanan rumah merupakan salah satu usaha diperkenalkan kerajaan dalam mengurangkan masalah kesesakan di penjara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia melibatkan pesalah yang merupakan status tahanan reman dalam penjara.
Bagaimanapun katanya, tahanan reman kerana jenayah berat seperti rogol, bunuh dan kes 39 B (dadah) tidak diambil kira.
Jumlah keseluruhan tahanan di penjara sehingga 14 November tahun lalu seramai 86,766 orang dan melepasi kapasiti sebenar iaitu 74,146.
Daripada jumlah itu, 28,000 adalah individu yang ditahan reman.
Tahanan rumah telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat. Ikuti pandangan mereka berhubung hukuman tersebut.
SOKONG
Laksana hukuman secara adil
Kerajaan perlu laksanakan secara adil jika betul tahanan rumah boleh dilaksanakan di negara ini tanpa mengira status sosial atau ekonomi, penyeliaan selain penguatkuasaan undang- undang yang konsisten.
Keadilan perlu berlaku kepada semua orang sama ada mereka individu ternama atau rakyat biasa.
Apa yang penting adalah untuk mendidik orang ramai tentang hak mereka dalam menjalani hukuman dan prosedur yang terpakai supaya tiada pihak yang berasa diuntungkan atau dilayan secara tidak adil.
Bagi mengatasi masalah ketidakadilan ini, ia memerlukan pengawasan lebih ketat terhadap pelaksanaan tahanan rumah.
Mungkin boleh mempraktikkan penggunaan alat pemantauan elektronik (GPS) yang canggih untuk memantau keberadaan tahanan dan mencegah penyalahgunaan dasar ini baik oleh orang kaya mahupun rakyat biasa.
Selain itu, institusi pemantauan bebas juga boleh memainkan peranan penting dalam memastikan dasar tersebut dilaksanakan secara telus dan tanpa diskriminasi.
Ia perlu memastikan sesiapa sahaja yang dijatuhkan hukuman, sama ada dari kelas atasan atau bawahan dilayan sama rata di hadapan undang-undang. Tiada ruang untuk diskriminasi.
Bagaimanapun, kerajaan haruslah berhati-hati dalam melaksanakan dasar baharu ini supaya masyarakat tidak berasa terancam.
- Pegawai Penilai, Tariq Yusof, 31
Elak kesesakan di penjara
Bagi saya, banduan dengan kesalahan kecil boleh melalui tahanan di rumah jika terlaksana di negara ini bagi mengelakkan kesesakan dalam penjara.
Ia boleh dilakukan kepada pesalah yang terlibat dalam kes seperti penyalahgunaan dadah, rasuah atau jenayah ekonomi yang tidak melibatkan ancaman langsung kepada keselamatan awam.
Penahanan di rumah juga memberi peluang kepada individu menjalani hukuman dengan pengawasan tertentu, seperti menggunakan peranti pemantauan elektronik atau melaporkan secara tetap kepada pihak berkuasa.
Dasar ini dianggap sebagai satu bentuk pengurusan yang lebih berperikemanusiaan berbanding penahanan di penjara yang boleh memburukkan lagi psikologi dan fizikal banduan.
Menjaga banduan di rumah boleh mengurangkan kos operasi yang berkaitan dengan penahanan di penjara seperti makanan, penjagaan kesihatan dan penyeliaan.
Ini juga penyelesaian yang bagus untuk negara yang mempunyai belanjawan tinggi.
- Pentadbir Eksekutif, Norasmawati Ismail, 45
BANGKANG
Habiskan hukuman dalam penjara
Banduan perlu menghabiskan hukuman di dalam penjara supaya ia adil untuk semua rakyat.
Itu yang dipraktikkan di negara ini sejak dahulu lagi di mana setiap pesalah akan menghabiskan tempoh pemenjaraan hanya di dalam penjara.
Hanya di penjara mereka mendapat pengajaran yang setimpal dengan kesalahan kerana di situ terputus hubungan dengan semua keluarga serta sahabat handai.
Sekiranya dilaksanakan dan banduan dikehendaki memakai alat peranti pemantauan elektronik, saya berpendapat ia tidak begitu efektif dan menimbulkan pelbagai isu.
Jika ia tidak berfungsi dengan baik, saya bimbang banduan yang ditahan di rumah akan keluar berkeliaran sesuka hati mereka.
Jadi, seeloknya mereka teruskan menghabiskan tempoh hukuman di dalam penjara untuk mengelakkan lebih banyak perkara tidak diingini daripada berlaku.
Jasa seseorang akan tetap dikenang, namun kesalahan dan kecuaian ketika memerintah perlu dihadapi dan diterima hukuman setimpal supaya dapat menjadi pengajaran untuk semua pemimpin.
- Pendidik, Nor Hidayah Zakaria, 41
Bimbang banduan selesa di rumah
Lebih baik jika pesalah terus di penjara dan kembalilah ke pangkuan keluarga selepas selesai menjalani hukuman untuk memulakan hidup baharu.
Kita bimbang mereka berasa selesa jika ditahan di rumah dan mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan.
Pada pendapat saya, bukan semua orang boleh terima banduan berada di rumah walaupun darah daging sendiri.
Boleh dikatakan, kebanyakan ahli keluarga banduan berasa malu dan terpalit dengan pandangan negatif masyarakat sekeliling.
Justeru, kehadiran banduan tahanan rumah pastinya akan membebankan seisi rumah.
Bagaimana pula pihak berkuasa akan memastikan tahap keselamatan banduan jika terlalu ramai antara mereka dikenakan tahanan rumah.
Janganlah kerajaan ingin menyelesaikan isu kesesakan dalam penjara namun rakyat pula terpaksa berdepan pelbagai masalah kelak.
- Juruteknik, Mohd Norhanif Hashim, 39