Bayi empat bulan meninggal dunia di taska

Iklan
Seorang bayi berusia empat bulan meninggal dunia di sebuah taska di sini pada Jumaat.Gambar hiasan

KUALA LANGAT - Seorang bayi berusia empat bulan meninggal dunia di sebuah taska di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, laporan berkaitan kematian bayi lelaki berkenaan sebelum itu dibuat seorang doktor pada jam 3.29 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bayi itu dibawa ke klinik oleh pengasuh taska berkenaan dalam keadaan pucat serta didapati kebiruan pada bahagian bibir dan kaki.

"Pemeriksaan mendapati bayi itu tiada nadi serta tidak bernafas selain tiada pergerakan anak mata apabila disuluh menggunakan lampu," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Iklan

Mohd Akmalrizal berkata, doktor kemudian memberi bantuan pernafasan (CPR) serta oksigen kepada bayi itu sementara menunggu ambulans untuk dibawa ke Hospital Cyberjaya.

"Hospital menerima bayi itu pada jam 4.35 petang sebelum memberikan bantuan CPR selama lebih 30 minit.

Iklan

"Bagaimanapun tiada tindak balas diberikan sebelum bayi itu disahkan meninggal dunia pada jam 5.05 petang," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati premis taska terbabit tidak berlesen.

"Semakan dijalankan turut mendapati permohonan telah dihantar namun belum diluluskan.

"Setakat ini tiada tangkapan dijalankan, pengusaha dan pekerja terbabit telah diambil keterangan untuk siasatan lanjut," katanya.

Mohd Akmalrizal berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Sebarang maklumat atau info berkaitan kejadian boleh disalurkan dengan tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dijalankan pihak polis," katanya.