Pendaki ditemui hidup selepas 13 hari dilapor hilang di Australia

Iklan
Nazari (kiri) yang dilaporkan hilang selama 13 hari ditemukan hidup pada Rabu. Operasi pencarian oleh pihak berkuasa di Australia (kanan).

ISTANBUL - Seorang pendaki yang dilaporkan hilang selama 13 hari ditemukan hidup pada Rabu semasa operasi pencarian oleh pihak berkuasa di Australia, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik ABC News.

Hadi Nazari, seorang pelajar universiti berusia 23 tahun yang dilaporkan hilang pada Boxing Day, ditemukan masih hidup di kawasan pergunungan yang berceranggah di New South Wales.

Iklan
Iklan

Menurut laporan, Nazari seorang pendaki berpengalaman mendaki bersama dua rakan di Taman Negara Kosciuszko pada 26 Disember sebelum berpisah untuk mengambil gambar.

Rakan-rakannya melaporkan kehilangan Nazari kepada pihak berkuasa pada petang itu selepas beliau tidak kembali ke tapak perkhemahan yang dijanjikan.

Iklan

Polis memaklumkan yang Nazari ditemukan selepas menjerit meminta bantuan kepada pendaki lain yang kemudiannya menghubungi perkhidmatan kecemasan.

"Dia hanya mempunyai dua bar muesli dan itulah satu-satunya makanan yang dimakannya sepanjang dua minggu lalu," menurut polis.

Iklan

Ketika ditemukan, polis mengesahkan yang Nazari tidak mengalami kecederaan yang ketara.

Beliau dibawa ke hospital untuk rawatan dan bertemu semula dengan keluarganya. - Bernama