Tumpu agenda lebih besar berbanding picisan politik

Iklan
Parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan perlu menumpukan perhatian kepada agenda lebih besar, berbanding memanipulasi isu solidariti terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak. (Gambar kecil: Ahmad Marthada)

SHAH ALAM - Parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan perlu menumpukan perhatian kepada agenda lebih besar, berbanding memanipulasi isu solidariti terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamad berkata, setiap parti perlu melihat kepada matlamat lebih besar, pada masa sama isu-isu kecil perlu dikesampingkan.

Iklan
Iklan

"Matlamat lebih besar merangkumi memajukan negara, menstabilkan ekonomi dan memastikan keadilan sosial dan perpaduan antara kaum terpelihara.

"Isu yang merosakkan perpaduan, merencatkan pembangunan ekonomi, menggagalkan keharmonian dan menimbulkan konflik serta ketidakstabilan politik, hendaklah dielakkan kerana masyarakat mahukan sebuah kerajaan yang boleh bimbing mereka ke arah lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Tambahnya, rakyat mahukan kerajaan memberi tumpuan kepada isu keadilan sosial, rasuah dihapuskan, jurang digital dan infrastruktur diperhalusi selain kemiskinan bandar diberikan perhatian berbanding isu picisan politik.

"Jika semua parti dalam kerajaan melihat agenda-agenda tersebut sebagai agenda penting kerajaan, saya pasti rakyat akan bantu supaya matlamat itu tercapai,” ujarnya.

Iklan

Menurutnya, setiap parti wajar memahami dan akur bahawa kestabilan kerajaan itu penting melalui kesepaduan parti-parti komponen.

"Mana-mana kerajaan di dunia sekalipun yang dibentuk atas dasar gabungan pelbagai parti yang mempunyai ideologi berbeza sudah tentulah sukar untuk mendapatkan keserasian.

"Maka setiap parti perlu terima kepelbagaian dalam pemikiran itu dengan baik, itu yang akan menyatupadukan kerajaan, UMNO perlu hormati pandangan DAP dan sebaliknya,” jelasnya.

Ahmad Marthada turut menyifatkan isu solidariti Najib tidak akan meretakkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.