Restoran diserbu, simpan minyak masak peket subsidi lebih had

Iklan
Anggota penguat kuasa KPDN Pahang memeriksa minyak masak peket bersubsidi di sebuah restoran di Kuantan. Foto ihsan KPDN Pahang.

KUANTAN – Sebuah restoran di daerah ini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang selepas didapati menyimpan 112 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi, melebihi had yang dibenarkan.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, serbuan dilakukan jam 11.42 pagi pada Rabu, hasil maklumat awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan mendapati pemilik restoran itu mempunyai Permit Barang Kawalan Berjadual yang sah, namun permit tersebut hanya membenarkan penyimpanan barang kawalan bukan subsidi.

"Sebanyak 112 kilogram minyak masak peket bersubsidi dan dokumen perniagaan berkaitan telah disita untuk siasatan lanjut.

Iklan

"Satu kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana memiliki barang kawalan berjadual melebihi had yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.

Beliau menambah, individu yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjara sehingga dua tahun, manakala bagi kesalahan berulang, denda boleh meningkat sehingga RM3 juta atau penjara lima tahun.

Iklan

Jezlily turut memberi amaran keras terhadap individu atau syarikat berkaitan supaya mematuhi perundangan yang ditetapkan.

Jelasnya, minyak masak bersubsidi adalah untuk kegunaan isi rumah dan bukan untuk tujuan komersial.

"Kita mengalu-alukan maklumat daripada pengguna untuk bersama membantu menjadi mata dan telinga kementerian selaras dengan inisiatif `Kita Gempur' iaitu pelaksanaan langkah strategik kerajaan

"Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat jika mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan barang kawalan atau subsidi melalui saluran aduan rasmi KPDN,” katanya.


Padah jual minyak peket 'pilih bulu'

Sementara itu di TAIPING, PERAK, tindakan peniaga menjual minyak masak peket bersubsidi kepada individu tertentu mengundang padah apabila perbuatan itu dikesan Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sebuah premis di Batu Kurau dekat sini pada Rabu.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejadian tersebut dikesan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping yang menjalankan pemeriksaan melalui Ops Tiris 3.0 bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan minyak masak peket 1kg bersubsidi.

Menurutnya, kejayaan operasi berkenaan adalah hasil maklumat dan aduan orang awam yang tidak berpuas hati terhadap peniaga yang hanya menjual minyak masak peket 1kg bersubsidi kepada orang tertentu sahaja.

"Berdasarkan maklumat tersebut, satu tindakan uji beli melalui Ops Samar telah dilaksanakan dan hasilnya mendapati pekerja premis memaklumkan bahawa minyak masak peket telah habis dijual.

"Curiga dengan jawapan pekerja premis tersebut, satu pemeriksaan lanjut kemudiannya dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa beruniform dan telah menemui sebanyak 140kg minyak masak peket 1kg yang disimpan di stor simpanan barang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kamalludin berkata, susulan itu pihaknya telah mengambil tindakan dengan menyita kesemua 140kg minyak masak peket 1kg tersebut berserta beberapa dokumen berkaitan.

Menurutnya, kesemua barang rampasan dianggarkan berjumlah RM350 dan kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi orang perseorangan.

Jelasnya, bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM5 juta.

"KPDN ingin memberikan amaran dan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti atau sindiket penyelewengan barang-barang kawalan dan akan memastikan tindakan lebih tegas termasuklah pendakwaan di mahkamah.

"Kita akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan melalui inisiatif dikenali sebagai 'Kita Gempur' sebagai langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan massa dalam menangani isu manipulasi aktiviti perniagaan termasuk usaha mencegah penyelewengan barang kawalan, mengekang penipuan perniagaan dalam talian, membanteras monopoli dan kewujudan kartel," katanya.

Sementara itu, Kamalludin meminta masyarakat dan pengguna menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat-maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

Justeru itu, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan atau melalui saluran-saluran aduan yang disediakan.