SHAH ALAM - Tekanan ekonomi merupakan antara halangan utama, selain perjanjian sedia ada yang menyukarkan rundingan baharu lebih adil kepada Malaysia.
Koordinator Bidang Sumber Air dan Alam Sekitar Kolej Pengajian Kejuruteraan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Norashikin Ahmad Kamal berkata, tiga faktor lain yang turut mempengaruhi ialah geopolitik, infrastruktur dan kepentingan strategik.
Justeru, beliau melihat rundingan baharu memerlukan pendekatan menyeluruh dengan komitmen politik, pelaburan teknologi dan perancangan strategik jangka panjang untuk memastikan kepentingan rakyat Malaysia terpelihara.
"Perjanjian air antara Malaysia dan Singapura, seperti Perjanjian 1961 dan 1962, adalah dokumen sah di sisi undang-undang antarabangsa. Jadi, perubahan terma memerlukan persetujuan kedua-dua pihak, yang mungkin tidak mudah dicapai kerana perbezaan kepentingan ekonomi dan politik.
"Singapura juga adalah rakan dagangan penting dan rundingan tegang mungkin akan memberi kesan kepada hubungan perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya kepada Sinar Harian.
Norashikin berkata demikian ketika ditanya halangan utama menyukarkan satu terma rundingan baharu yang lebih adil kepada Malaysia.
Ia susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kedua-dua negara akan membuka semula perbincangan mengenai isu-isu yang telah lama berlarutan seperti isu pembekalan air, persempadanan maritim dan ruang udara.
Menurut Norashikin, halangan lain yang mungkin dihadapi ialah daripada aspek geopolitik kerana hubungan diplomatik antara kedua-dua negara sering dipengaruhi oleh isu-isu lain yang boleh menjejaskan rundingan, termasuk isu sempadan dan ekonomi.
Selain itu, kos infrastruktur kerana sebarang pindaan perjanjian mungkin memerlukan Malaysia mengembangkan infrastruktur air baharu untuk memenuhi keperluan domestik jika bekalan air dari Singapura terganggu.
Dari aspek kepentingan strategik pula katanya, air adalah isu keselamatan nasional dan Singapura mungkin enggan mengubah terma perjanjian yang memberikannya kelebihan strategik.
Bagaimanapun, Norashikin percaya, rakyat Malaysia terutamanya warga Johor pasti menyambut baik kenyataan Perdana Menteri untuk membuka semula perbincangan perjanjian air ini, dengan harapan ia mendapat keputusan positif untuk kedua-dua negara khususnya daripada sudut ekonomi dan pembangunan infrastruktur sumber air di Malaysia.
"Malaysia sebenarnya mempunyai teknologi yang mencukupi untuk memproses air bersih pada kos rendah. Bagaimanapun, cabaran utama bukanlah pada ketiadaan teknologi tetapi pada pelaksanaannya secara meluas, kos penyelenggaraan, pengurusan sumber air dan pendidikan masyarakat.
"Kos rawatan air di Malaysia bergantung kepada beberapa faktor, termasuk kos pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur loji rawatan air,” jelasnya.
KUALITI
Menurut Norashikin, kualiti air mentah yang rendah turut memerlukan lebih banyak proses rawatan, yang akhirnya meningkatkan kos.
Selain itu, pembaziran akibat kehilangan air tidak berhasil (NRW) berpunca daripada sistem perpaipan lama dan kecurian air menambah implikasi kos rawatan air tersebut.
Masalah itu katanya, menunjukkan bahawa pengurusan sumber air yang lebih baik perlu diberi keutamaan untuk memastikan keberkesanan teknologi sedia ada.
Justeru, beliau melihat Kerajaan Johor boleh meneroka alternatif lain seperti kerjasama dengan negeri berdekatan.
"Johor boleh meningkatkan kerjasama dengan negeri seperti Melaka atau Pahang untuk mendapatkan bekalan air tambahan. Sebagai contoh, projek pemindahan air dari Pahang ke Selangor dan pemindahan air dari Negeri Sembilan ke Melaka boleh dijadikan model kerjasama bagi penerokaan alternatif air terawat untuk negeri Johor.
"Selain itu, mereka boleh melabur dalam teknologi kitar semula air seperti yang telah dilaksanakan di Singapura iaitu NEWater System yang membantu negara tersebut mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.
"Johor juga boleh membina loji rawatan air moden dengan teknologi kos rendah untuk memproses air mentah secara tempatan. Secara umumnya, sebanyak empat loji rawatan air (LRA) akan dibangunkan di bawah negeri Johor bagi memenuhi bekalan air terawat untuk negeri tersebut,” katanya.
INFO:
5 halangan utama sukarkan rundingan baharu air
- Tekanan ekonomi
- Perjanjian sedia ada
- Faktor geopolitik
- Kos infrastruktur
- Kepentingan strategik