KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba memilih Malaysia sebagai destinasi untuk melancarkan hubungan diplomatiknya bagi 2025 serta memulakan lawatan rasmi dua hala pertamanya ke luar negara sejak memegang jawatan Oktober lepas, Ia merupakan satu isyarat yang menekankan hubungan erat dan strategik antara kedua-dua negara.
"Kerja diplomasi saya pada 2025 secara rasmi bermula di sini, di Malaysia,” katanya dalam artikel eksklusif yang dikongsikan kepada Bernama menjelang lawatannya, menyatakan penghormatan beliau kerana lawatan itu bertepatan dengan Malaysia menggalas jawatan Pengerusi ASEAN.
Lawatan Ishiba mencerminkan hubungan erat yang berkekalan antara Malaysia dan Jepun, hubungan yang telah diperkukuh selama beberapa dekad dan dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Disember 2023.
Perkongsian yang dipertingkatkan ini, menurut Ishiba, telah mendorong kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang termasuk keselamatan, transformasi hijau (GX) dan kerjasama antarabangsa.
Semasa lawatan itu, Ishiba berkata, beliau berhasrat untuk memperbaharui kerjasama sebagai"Rakan Kongsi Strategik Komprehensif” dan membina hubungan yang lebih mendalam yang bakal beliau ketengahkan melalui pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Di tengah-tengah landskap antarabangsa yang semakin tidak menentu dengan pertambahan konflik dan perpecahan, Ishiba menekankan kepentingan kerjasama antara Jepun dan Malaysia, kedua-duanya komited untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dalam merealisasikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.
"Kerjasama sedemikian adalah penting untuk keamanan dan kemakmuran kedua-dua negara serta rantau yang lebih luas,” katanya.
Ishiba mengulangi komitmen Jepun untuk menyokong kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, terutama dalam menangani cabaran antarabangsa dan serantau yang mendesak, termasuk krisis kemanusiaan di Gaza.
"Jepun komited untuk menyokong kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam menangani pelbagai isu dalam komuniti antarabangsa dan serantau," katanya.
Beliau juga melahirkan kebimbangan mendalam Jepun terhadap krisis kemanusiaan yang berterusan di Semenanjung Gaza dan menyatakan bahawa Jepun telah menyediakan bantuan kemanusiaan berjumlah kira-kira AS$230 juta kepada rakyat Palestin sejak 7 Oktober 2023.
Ishiba turut menekankan kerjasama Jepun dengan Malaysia dalam pembinaan semula pertanian di Palestin, memanfaatkan kepakaran Malaysia dalam bidang pertanian tropika.
Beliau berkata, Jepun melancarkan persidangan mengenai kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada 2013 sebagai inisiatif unik untuk menyokong Palestin.
"Kami berharap dapat memanfaatkan sepenuhnya rangka kerja ini bersama Malaysia untuk menyumbang kepada penstabilan situasi di Timur Tengah,” katanya.
Jepun perkukuh hubungan strategik dengan Malaysia
KUALA LUMPUR - Jepun sebagai pelabur lama di Malaysia bakal memperkukuh kerjasama ekonomi dengan memperluaskan kolaborasi dalam sektor utama seperti transformasi hijau, pembangunan nadir bumi dan daya tahan rantaian bekalan, sekali gus mengukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba dalam artikel eksklusif yang dikongsi bersama Bernama sempena lawatannya ke Malaysia menekankan hubungan ekonomi yang kukuh dan pertumbuhan bersama yang telah lama terjalin antara Jepun dan Malaysia.
"Dalam bidang ekonomi, Jepun telah lama menjadi antara rakan pelaburan dan perdagangan utama Malaysia dan kedua-dua negara telah mencatatkan pertumbuhan bersama.
"Hari ini, LNG (Gas Asli Cecair) dan semikonduktor buatan Malaysia menjadi keperluan penting dalam kehidupan harian di Jepun,” tulisnya.
Mengenang sejarah kolaborasi yang erat, Ishiba turut menghargai sokongan kritikal Malaysia selepas Gempa Bumi Besar Timur Jepun pada 2011.
"Saya tidak akan lupa bagaimana sejurus selepas Gempa Bumi Besar Timur Jepun pada 2011, Petronas dengan cepat membekalkan LNG ke kawasan bencana pada waktu bekalan dan permintaan LNG di Jepun sedang meruncing,” katanya.
Ishiba berkata, prinsip kemampanan dan daya cipta dalam dasar Malaysia Madani selari dengan nilai yang dikongsi kedua-dua negara.
"Sepanjang lawatan ini, saya berhasrat untuk merealisasikan kemajuan hubungan ekonomi Jepun-Malaysia, dengan mengambil kira bidang-bidang kerjasama baharu termasuk meningkatkan ketahanan rantaian bekalan dan unsur nadir bumi,” katanya.
Menangani cabaran penting seperti nyahkarbon dan peralihan tenaga di Asia Tenggara, Ishiba menekankan kepentingan bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama.
"Bersama Malaysia, yang menyasarkan mencapai neutral karbon menjelang 2050, kita akan bekerjasama untuk mencapai penyahkarbonan, pertumbuhan ekonomi, dan keselamatan tenaga secara serentak melalui inisiatif Komuniti Pelepasan Sifar Bersih Asia (AZEC),” katanya.
Beliau turut menyentuh tentang Mekanisme Pengkreditan Bersama (JCM) dalam memajukan usaha kemampanan, dan berharap dapat mempercepatkan perbincangan serta menandatangani perjanjian JCM dengan Malaysia dalam masa terdekat.
"JCM akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon di kedua-dua negara melalui penggunaan teknologi nyahkarbon terkemuka dan penciptaan kredit karbon,” katanya.
Mengakui cabaran banjir yang semakin meningkat di Malaysia, Ishiba menyatakan kesediaan Jepun untuk berkongsi kepakaran dalam kawalan banjir dan pengurangan risiko bencana. - Bernama