Trauma, fobia rawatan gigi: Dr. Azman gigih beri kesedaran kepada orang ramai

Iklan
Tonggak utama kejayaan Klinik Pergigian Azman di Cyberjaya iaitu Dr. Azman Ahmad Naspu dan isteri beliau yang juga Pengarah Urusan Klinik Pergigian Azman, Qadratullil.

CYBERJAYA - Fobia atau trauma terhadap rawatan di klinik gigi adalah satu fenomena yang lazim dialami oleh pelbagai lapisan masyarakat. Ketakutan ini dikenali sebagai Dentophobia yang wujud berpunca daripada pengalaman buruk ketika mendapatkan rawatan pergigian seperti prosedur yang menyakitkan, layanan yang kurang mesra atau kurangnya komunikasi yang jelas antara doktor gigi dengan pesakit.

Trauma emosi ini boleh meninggalkan kesan mendalam, menyebabkan seseorang enggan lagi mendapatkan rawatan gigi walaupun mereka menghadapi masalah kesihatan gigi yang serius.

Iklan
Iklan

Bagi Dr. Azman Ahmad Naspu, senario ini wajar dipandang serius agar isu kesihatan gigi yang tidak ditangani dengan baik dari peringkat awal itu, boleh menjejaskan kesihatan tidak sahaja gigi indidividu terbabit malah memberi implikasi kesihatan mental dan fizikal.

"Saya sering bertemu dengan pesakit yang enggan mendapatkan rawatan pergigian walaupun mereka ada masalah kesihatan gigi. Akibatnya keadaan menjadi bertambah teruk dan mereka terpaksa tahan sakit terlalu lam, barulah mereka terpaksa bertemu dengan saya.

Iklan

"Perkara ini tidak wajar berlaku kerana ramai orang tidak menyedari gigi yang mengalami pelbagai isu kesihatan perlu dirawat segera sebelum ia menjejaskan kesihatan urat-saraf, pencernaan dan isu kesihatan yang lain sehingga menjejaskan penampilan, emosi dan produktiviti,” katanya yang membuka Klinik Pergigian Azman di Neocyber, Cyberjaya.

DR. AZMAN


Beliau turut menceritakan pernah menangani seorang pesakit yang berusia 30-an yang pada peringkat awal menghadapi masalah kesakitan gigi geraham yang berlubang, namun ia dibiarkan berlarutan.

Iklan

Kata Dr. Azman, apabila keadaan semakin teruk sehingga menjejaskan kesihatan gigi lain kerana sisa makanan yang terperangkap dan tidak dibersihkan dengan baik."Lama kelamaan keadaan gigi yang berlubang itu semakin teruk dan tidak dapat diselamatkan. Ia akan dicabut, tetapi ia tidak terhenti disitu sahaja.

"Keadaan kesihatan gigi yang lain turut terjejas sehinggakan beberapa batang gigi yang lain turut terpaksa dicabut,” ujarnya.

Kesedaran penjagaan dan rawatan pergigian penting

Menurut Dr. Azman, apabila keadaan ini berlaku, pesakit tidak dapat mengunyah makanan dengan baik. Makanan ditelan dalam bentuk yang tidak ideal sehinggakan usus terpaksa bekerja dengan lebih keras untuk menghancurkan makanan tersebut. Situasi ini jika dibiarkan berterusan jelas beliau akan menjejaskan usus perut sehingga dalam keadaan tertentu, ada pesakit yang terpaksa dipotong usus mereka.

"Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil untuk mengatasi fobia dan trauma ini. Pertama, teknologi pergigian yang semakin maju kini menawarkan rawatan yang lebih selesa dan kurang menyakitkan serta yang paling penting adalah skill atau pengalaman merawat pesakit.

"Contohnya, penggunaan alat moden yang lebih senyap dan teknik seperti sedasi ringan dapat membantu pesakit berasa lebih tenang semasa rawatan.

"Doktor gigi juga semakin prihatin terhadap keperluan emosi pesakit dan berusaha menyediakan suasana yang mesra serta menenangkan.

"Komunikasi yang jelas dan terbuka antara doktor gigi dan pesakit juga penting untuk membina kepercayaan dan mengurangkan rasa taku,” katanya.

Dr. Azman (duduk, kanan) bersama pasukan doktor gigi dan pembantu pergigian di bawah seliaan beliau.


Selain itu, Dr. Azaman berkata, sokongan daripada keluarga dan rakan memainkan peranan penting dalam membantu individu mengatasi fobia ini.

Ujarnya, dengan memberikan dorongan moral dan menemani mereka semasa lawatan ke klinik gigi, individu yang takut boleh merasa lebih yakin untuk mendapatkan rawatan.

"Pendidikan awal tentang kepentingan kesihatan pergigian juga dapat membantu membina kepercayaan terhadap rawatan ini.

"Contohnya, pendedahan kepada pemeriksaan pergigian sejak kecil dalam suasana yang positif boleh mengurangkan risiko fobia apabila mereka dewasa,” jelas beliau yang membuka klinik pertamanya pada tahun 2000 di Batu Pahat, Johor.

Buka klinik gigi pertama di Batu Pahat

Dr. Azman yang mempunyai 24 tahun pengalaman dalam rawatan pergigian merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian daripada Universiti Malaya pada tahun 1998.

Suami kepada Qadratullil Tajul Arus dan dua cahaya mata iaitu Amirul Iffat Azly dan Umira Faeqah Azly ini, giat menjayakan kempen kesedaran kepada orang ramai tentang motto kesihatan gigi yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan iaitu Gigi Kekal Sepanjang Hayat.

"Klinik yang beroperasi di Batu Pahat menerima kes rawatan sekitar 20 pesakit sehari, di mana sehingga kini kami telah menangani lebih 13,000 orang pesakit atau kes rawatan.

"Selain menyediakan perkhidmatan konsultasi dan rawatan pergigian asas seperti tampalan, pengilapan dan penskerelan (mencuci gigi), pemasangan gigi palsu, implan atau korona (crowning), klinik kami juga menawarkan pakej memasang pendakap gigi (braces) dan pelbagai pekejlain termasuk Pakej Pengantin dan Bulan Madu (kepada pasangan yang akan berkahwin), pakej keluarga (pemeriksaan dan rawatan gigi untuk semua ahli keluarga yang didaftarkan)”, jelas Dr. Azman.

Bagi Pengarah Urusan Klinik Pergigian Azman, Qadratullil atau lebih mesra dengan pangilan Leil yang menjadi tulang belakang kepada pembukaan klinik kedua di Cyberjaya ini, ia adalah sebagai langkah untuk memaju dan mengembangkan lagi perniagaan mereka bagi merawat lebih ramai pesakit.

QADRATULLIL


Jelas beliau, klinik kedua mereka dibuka pada tahun 2020 dan ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru sahaja diumumkan oleh kerajaan.

Katanya, apabila pinjaman daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) diluluskan, mereka tiada pilihan dan klinik perlu beroperasi.

"Saya perlu mengeluarkan kos sebanyak RM350,000 bagi memastikan operasi perniagaan klinik gigi ini berjalan lancar.

"Pada peringkat awal operasi klinik saya di Neocyber, Cyberjaya jumlah pesakit tidak ramai, namun semakin hari ia semakin meningkat.

"Untuk memantapkan tadbir urus dan penjenamaan Klinik Pergigian Azman, saya memberanikan diri menghadiri program latihan perniagaan secara persendirian di bawah bimbingan BRIS Solutions,” katanya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Tun Fatimah (STF), Johor Bahru.

Jelas Leil, hasil daripada nasihat tenaga pengajar Bris Solutions, mereka lebih berani mencuba pelbagai pendekatan perniagaan yang baru dan kelas itu membuka minda beliau untuk lebih fokus dalam perniagaan.

Di klinik Pergigian Azman, selain Dr. Azman, beliau turut dibantu oleh doktor gigi terlatih iaitu Dr. Najwa Solehah, Dr. Nurul Jannah dan Dr. Viityarupiinee yang dibantu oleh pembantu pergigian iaitu Nurul Atikah Zulkifli, Alia Jasmeen dan Kamariah.

Untuk rekod, Klinik Pergian Azman giat menjayakan kempen kesedaran penjagaan gigi melibatkan pelajar tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan keluarga serta pelatih kepada anak-anak autisme.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Klinik Pergigian Azman boleh layari www.klinikpergigianazman.com.my atau di Facebook, Instagram dan Tiktok.