KULAI – Dua lelaki termasuk seorang warga emas cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di kilometer (KM) 27.0, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan awal pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Awang Ismail Awang Hanafi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan terbabit pada jam 6.37 pagi.
Iklan
Iklan
Menurutnya, sebaik menerima panggilan satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan enam anggota telah dihantar ke lokasi.
"Setibanya PKO ke lokasi pada jam 6.49 pagi, didapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah bas persiaran sebuah bas persiaran yang dinaiki sembilan penumpang dengan sebuah lori treler.
"Dua penumpang bas persiaran iaitu seorang lelaki berusia 28 tahun dan warga emas berusia 70 tahun didapati cedera di bahagian kaki manakala pemandu bas serta treler tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Tambahnya, kedua-dua mangsa telah diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak ambulan untuk tindakan lanjut manakala penumpang lain meneruskan perjalanan ke Terminal Bas Larkin Sentral di Johor Bahru dengan menaiki bas persiaran lain dan operasi ditamatkan pada jam 7.38 pagi.