KOTA BHARU - Kelantan berjaya menoktahkan kemiskinan tegar sebanyak dua fasa tahun lalu membabitkan 14,041 ketua isi rumah (KIR) seperti dalam perancangan kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, fasa pertama melibatkan 12,280 KIR miskin tegar tahun 2023 berjaya dinoktahkan pada 1 Julai tahun lalu.
Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkata, kejayaan berkenaan seperti arahan yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Khas Pembangunan negeri Kelantan, 2 Mei tahun lalu.
"Kemiskinan tegar fasa kedua berjaya dinoktahkan pada 31 Disember tahun lalu membabitkan seramai 1,761 KIR," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sesi Perjumpaan Khas Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Bersama Menteri NRES pada Khamis.
Ketika lawatan ke Kelantan pada 2 Mei tahun lalu, Anwar memberi tempoh dua bulan kepada agensi kerajaan Pusat dan negeri untuk menoktahkan miskin tegar di Kelantan walaupun ada pihak mempertikaikan usaha terbabit.
Ketika itu terdapat kira-kira 1,000 orang yang tergolong dalam kumpulan miskin tegar.
Dalam lawatan berkenaan, Anwar turut mengadakan perjumpaan tertutup bersama Menteri Besar Kelantan untuk berbincang mengenai pembangunan negeri.