DPMM giat beri bimbingan teknologi AI kepada PMKS

Iklan
Wakil dari Mesolitica Sdn Bhd (kiri), Lekir Tech (M) Sdn Bhd (dua dari kiri), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) (dua dari kanan) dan Gig Venture Enterprise, Lekir Tech (M) Sdn Bhd (kanan) menandatangani MoU pada Khamis.

PERUSAHAAN mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan terus diberi bimbingan mengenai cara untuk mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) agar dapat bergerak seiring dengan perubahan masa kini.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, sebagai usaha ke arah itu pihaknya akan melaksanakan program kesedaran di seluruh negara bagi membantu usahawan Melayu dan Bumiputera untuk lebih berdaya saing.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, bagi tujuan itu juga, program seperti Seminar Pemantapan Kecerdasan Buatan untuk Usahawan Kecil & Besar (SPKB) akan berfungsi sebagai platform untuk memacu penerapan teknologi AI di peringkat akar umbi.

Norsyahrin Hamidon

"Selain itu, DPMM turut menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama Gig Venture Enterprise, Lekir Tech (M) Sdn Bhd dan Mesolitica Sdn Bhd bagi memacu penerapan teknologi AI dalam kalangan PMKS.

Iklan

"Kerjasama strategik ini membuka jalan kepada penerapan teknologi terkini dalam perniagaan usahawan Melayu. Rakan-rakan strategik DPMM menyatakan komitmen mereka untuk membawa kepakaran teknikal dalam bidang AI serta menyediakan penyelesaian praktikal yang mampu meningkatkan kecekapan operasi, produktiviti, dan inovasi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, PMKS bakal memiliki kelebihan kompetitif untuk kekal relevan dalam ekonomi digital yang semakin mencabar melalui inisiatif ini.

Iklan

"Teknologi AI yang dibangunkan melalui kerjasama ini juga memberi tumpuan kepada keperluan lokal, termasuk pembangunan model bahasa besar (LLM) bahasa Melayu yang mampu mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar.

"Inisiatif ini memperkukuh kedaulatan teknologi sambil memastikan bahasa dan budaya tempatan terus dipelihara," katanya.

Terdahulu, berlangsung majlis menandatangani MoU antara DPMM dan syarikat terlibat.

Sementara itu, sebagai sebahagian daripada Gerakan Ekoniaga Madani (GEMA) yang diperkenalkan pada tahun ini, jelas Norsyahrin, MoU ini menjadi platform untuk memperkukuhkan ekosistem ekonomi Bumiputera.

"GEMA menekankan pentingnya pemerkasaan melalui teknologi dan inovasi untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kukuh dan berdaya tahan. DPMM juga akan melaksanakan program kesedaran di seluruh negara, memberikan bimbingan kepada usahawan Melayu mengenai cara mengintegrasikan AI ke dalam operasi harian mereka.

"Program seperti Seminar Pemantapan Kecerdasan Buatan untuk Usahawan Kecil dan Besar (SPKB) akan berfungsi sebagai platform untuk memacu penerapan teknologi AI di peringkat akar umbi,” katanya.