KUALA SELANGOR - Memotong wayar sistem kamera litar tertutup (CCTV) menjadi modus operandi penjenayah untuk memecah masuk sebuah kafe makanan ala barat di Kampung Bukit Hijau, Jeram di sini pada Rabu.
Mangsa yang juga pemilik kafe, Nor Amirudin Kemi, 25, berkata, pihak tidak bertanggungjawab dikesan merosakkan sistem CCTV sebelum memecah masuk dan mencuri barangan berharga di kafe berkenaan.
"Pencuri telah menggunting wayar CCTV kafe bagi mengelakkan rakaman bukti dan saya anggap mereka ini berpengalaman dalam menjalankan kegiatan jenayah," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Mengulas lanjut kejadian itu, Nor Amirudin berkata, kejadian berlaku semasa dia sedang tidur di rumah dan hanya disedari seorang pekerjanya yang datang ke kafe itu kira-kira jam 4.40 pagi.
"Pekerja hubungi saya dan memaklumkan kafe dimasuki pencuri dan dia dapati tingkap jeriji besi hadapan kafe telah dikopak dan terbuka.
"Sebaik sahaja memasuki kedai, pekerja saya mendapati meja juruwang dan beberapa barangan lain dalam keadaan bersepah," ujarnya.
Katanya, dia kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati beberapa barangan berharga telah hilang antaranya mesin juruwang tunai, pembesar suara, mesin pencetak resit, alatan suara touch and go dan duit syiling berjumlah RM30 dengan anggaran kerugian keseluruhan sebanyak RM1,100.
"Saya terkejut dengan kejadian ini, lebih-lebih lagi bila pekerja menghubungi saya pada awal pagi.
"Kebiasannya rutin saya datang ke kafe jam 6 pagi untuk persiapan dan menghantar makanan ke vendor.
"Biasanya operasi kedai setiap hari Isnin hingga Sabtu bermula dari jam 11 pagi hingga 6 petang" kata Nor Amirudin.
Menurutnya, lebih mengejutkan, kejadian itu berlaku di kawasan gelap tanpa sebarang pencahayaan.
Nor Amirudin memberitahu, kejadian itu merupakan kali pertama berlaku sejak dia memulakan operasi kafe pada Februari 2022.
"Saya terkesan dengan kejadian ini kerana terpaksa menghentikan operasi kafe buat sementara waktu selama tiga hari sekali gus menjejaskan pendapatan utama saya.
"Pekerja saya telah membuat laporan polis berhubung kejadian ini kira-kira jam 9.30 pagi semalam (Rabu) di Balai Polis Jeram," tambahnya.
Difahamkan, selain kafe milik Nor Amirudin, dua lagi kedai lain di kampung itu turut menjadi sasaran pecah masuk dengan menggunakan modus operandi sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Azaharudin Tajudin mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut.