SHAH ALAM - Cadangan memperkenalkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh menjadi satu ancaman kepada keadilan dan hak asasi manusia di Malaysia.
Bekas Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah berkata, dengan mengembalikan semula akta itu untuk menahan individu tanpa perbicaraan yang adil hanya menyekat kebebasan rakyat dalam menuntut keadilan.
"Mana-mana undang-undang yang diperkenalkan mestilah sejajar dengan objektif untuk menjadikan kerajaan lebih telus dan bertanggungjawab kepada rakyat.
"Bagaimana mungkin seseorang boleh melupakan jumlah aktivis, wartawan, ahli politik pembangkang serta rakyat biasa yang dipenjarakan bertahun-tahun tanpa perbicaraan?” soalnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
ISA dimansuhkan sejak tahun 2012 dan digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di samping Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) bagi menjaga keselamatan negara.
Maria berpendapat, negara sudah mempunyai sistem perundangan yang mencukupi untuk mengawal tindakan bersifat kebencian antaranya undang-undang fitnah, kecederaan dan gangguan seksual.
Katanya, dalam konteks yang sama akta-akta seperti Akta Hasutan, Akta Kesalahan Keamanan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) juga perlu dimansuhkan.
"Negara kita telah dilengkapi dengan undang-undang yang cukup untuk mentadbir negara tanpa terjerumus ke dalam lubang autoritarianisme.
"Kerajaan perlu menyebarkan mesej dan memberi kesedaran tentang keamanan dan keharmonian bukannya membiarkan kebencian toksik berleluasa.
"Dengan cara ini, rakyat mampu untuk mencabar dan menguraikan naratif ekstrem tanpa perlu menyekat atau menghalang hak mereka,” ujarnya.