Kastam latih pegawai miliki kepakaran kesan tingkah laku mencurigakan

Iklan
Anis Rizana

PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam usaha melahirkan ramai pegawai di lapangan yang memiliki kepakaran mengesan tingkah laku mencurigakan melalui gerak badan dan riak wajah.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, satu program khusus iaitu Neuro Linguistik Programming (NLP) telah dilaksanakan pada 19 hingga 22 Ogos tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Kursus ini melibatkan 30 pegawai pelbagai gred di seluruh Malaysia.

"Kita akan teruskan lagi kursus ini dalam usaha jabatan membanteras aktiviti penyeludupan seperti dadah dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kastam Putrajaya di sini pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, Anis Rizana memaklumkan, pihaknya telah memperoleh 40 mesin pengimbas bagasi moden berkeupayaan tinggi yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Jelasnya, mesin pengimbas ini mampu mengenal pasti barangan yang diimbas dalam masa 20 hingga 30 saat dengan ketepatan 100 peratus sekali gus meningkatkan kecekapan operasi kastam serta memperkukuh kawalan sempadan serta keselamatan negara.

Iklan

"Mesin pengimbas ini ditempatkan di semua pintu masuk seluruh negara.

"Pelbagai kes telah dikesan menerusi mesin pengimbas ini antaranya dadah, rokok dan minuman keras," katanya.

Tambahnya, JKDM kini melaksanakan pemeriksaan 100 peratus ke atas dagangan import dan eksport dengan memanfaatkan teknologi pengimbasan berasaskan AI.

"Langkah strategik ini bertujuan memastikan pematuhan undang-undang dan mencegah kemasukan barang terlarang daripada ancaman penyeludupan," ujarnya.

Kata beliau, JKDM juga terus bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi memperkukuh penguatkuasaan di lapangan terbang antarabangsa.