[DIKEMASKINI] JENAMA kereta terkemuka, Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) memperkenalkan 'The New Civic’ dengan empat varian yang dilengkapi fungsi 'Google Built-In' bagi membolehkan pengguna mengakses 'Google Maps', 'Google Play' dan 'Google Assistant' menerusi sistem paparan audio sembilan inci.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hironobu Yoshimura berkata, keempat-empat varian menyediakan fungsi pemanduan lancar dengan hanya menggunakan 'Google Built-In' untuk melihat kawalan lalu lintas dan navigasi tanpa perlu mengalihkan pandangan.
Menurut pengarah urusan syarikat terbabit, sistem paparan audio sembilan inci itu juga menyediakan sambungan Apple CarPlay tanpa wayar, Android Auto dan USB Type-C untuk pengecasan serba boleh.
"Produk ini hadir dengan reka bentuk dinaik taraf dan serba dinamik misalnya varian e:HEV RS yang tinggi nilai estetika dan dilengkapi 18 inci saiz tayar, 2.0 L e:HEV 'power train' beserta transmisi pemboleh ubah berterusan elektrik (E-CVT).
"Manakala varian Petrol RS mempunyai enjin pengecasan turbo 1.5 L VTEC yang memberikan kuasa maksimum 182ps dan 240Nm torque untuk keseronokan ketika memandu.
"Harga bagi keempat-empat varian boleh didapati bermula RM133,900 bagi varian E; RM144,900 (V); RM149,900 (Petrol RS) dan RM167,900 untuk e:HEV RS," katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran ‘The New Civic’ 2025 di PARC Subang, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Presiden merangkap Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum; Naib Presiden Bahagian Pembangunan Jualan dan Pengedar, Sunita Prabhakaran serta Penyelaras Eksekutifnya, Soh Nakajima.
Hironobu memaklumkan, 'The New Civic' masih mengekalkan 'Honda Sensing' sebagai ciri standard pada semua varian antaranya kawalan pemanduan adaptif (ACC) dengan kemampuan mengikut kelajuan rendah (LSF), sistem brek mitigasi pelanggaran (CMBS), amaran penukaran laluan (LDW) dan lain-lain.
Sementara itu, tambahnya, Canyon River Blue Metallic merupakan warna baharu yang diperkenalkan menerusi pelancaran 'The New Civic' kali ini selain Ignite Red Metallic, Platinum White Pearl, Meteroid Gray Metallic dan Crystal Black Pearl.
"Justeru, Honda Malaysia menyasarkan jualan bulanan sebanyak 1,000 unit bagi mengekalkan jenama kami dalam pasaran segmen-C sedan bukan nasional.
"Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong produk Honda Malaysia dan jika ingin mengetahui lebih lanjut tentang 'The New Civic' atau mahu pandu uji, sila lawati mana-mana premis pengedar sah seluruh negara," ujarnya lagi.