Dr Zaliha enggan komen isu Titah Adendum

Iklan
Zaliha

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengetepikan soalan mengenai cadangan agar butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan didedahkan kepada umum.

Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), saranan itu disuarakan oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Akin berhubung pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Iklan
Iklan

"Nanti, nanti, nanti,” jawabnya ringkas.

Menurut laporan portal terbabit, cadangan tersebut adalah untuk memberikan penjelasan dan menghentikan spekulasi membabitkan pengampunan yang diberikan kepada bekas perdana menteri itu.

Iklan

Pada masa sama, Shamsul turut mengharapkan Jemaah Menteri dapat mempertimbangkan cadangan berkenaan supaya rakyat mengetahui perjalanan mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Ujarnya, ia termasuk pandangan yang dikemukakan dan keputusan diambil Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika masih bergelar sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Iklan

FMT turut melaporkan, Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar enggan menjawab pertanyaan sama ada Jabatan Peguam Negara menerima perintah Titah Adendum tahanan rumah itu.

"Saya tidak mahu komen,” katanya ringkas kepada pemberita di luar majlis pembukaan Tahun Perundangan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Tambahnya, bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada November lalu, turut hadir di majlis itu tetapi mengelak daripada bertemu dengan wartawan.

Sebelum ini, Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Rayuan pada Isnin bahawa perintah Adendum itu dihantar istana ke Pejabat Peguam Negara pada 29 Januari 2024 ketika Terrirudin masih memegang jawatan sebagai Peguam Negara.

Pada 2 Februari lalu, Urusetia Lembaga Pengampunan, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan hukuman penjara ke atas Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda yang perlu dibayar pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib pada Julai 2020, selepas bekas presiden UMNO itu didapati bersalah atas masing-masing tiga pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram, serta satu pertuduhan salah guna kedudukan, berkait dana RM42 juta milik SRC International.

Terdahulu Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.