KUANTAN - Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang (Kombes) yang dibina dengan kos lebih RM24 juta dijangka siap sepenuhnya Jun tahun ini.
Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, perkembangan pembinaan projek di atas tapak seluas kira-kira 4.6 hektar di tengah-tengah Bandaraya Kuantan itu kini mencapai lebih 72 peratus.
Menurutnya, Kombes Pahang yang menempatkan pelbagai kemudahan sukan termasuk bangunan pentadbiran, asrama, gelanggang sukan pelbagai guna, gelanggang futsal, skate park, padang bola sepak, trek sintetik, auditorium, kiosk dan gelanggang petanque itu dijangka boleh digunakan sepenuhnya September tahun ini.
"Projek ini melibatkan kerja-kerja naik taraf dan pembinaan baharu di mana tempoh asal selama 18 bulan bermula dari 29 Mac 2021.
"Bagaimanapun projek ini telah mendapat lanjutan masa berikutan beberapa faktor termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), faktor cuaca, perubahan-perubahan kerja semasa dan lain-lain kerja berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerjanya bagi meninjau dan melakukan semakan kemajuan kerja-kerja naik taraf dan pembinaan kompleks sukan berkenaan di sini pada Khamis.
Fadzli berkata, ketika ini pembinaan berjalan lancar mengikut jadual kecuali isu penyambungan pembetungan kumbahan projek ini.
"Saya telah minta kepada wakil Indah Water Konsortium (IWK) agar memberi keutamaan kepada penyambungan pembetungan ini agar ia dapat diselesaikan segera dan tidak mengganggu perkembangan projek ini.
"Isu ini perlu dimuktamadkan hujung bulan ini sekiranya ia akan melibatkan kos tambahan dan sebagainya," katanya.
Jelas beliau, sebagai pusat kegiatan dan aktiviti belia, Kombes Pahang dibina mesra golongan orang kurang upaya (OKU) apabila dilengkapi asrama, laluan untuk kegunaan golongan itu.
"Walaupun kemudahan dan fasiliti di bawah JBS Pahang ini untuk semua, tapi ada perbincangan telah dilakukan untuk menjadikan kompleks ini sebagai pusat latihan atlet OKU terutama atlet Para Sukma Pahang.
"Pada masa yang sama, ia boleh digunakan secara guna sama terutamanya melibatkan Majlis Sukan Pahang (MSP) dan atlet berprestasi tinggi untuk latihan berpusat dan sebagainya," jelas beliau.