PEMAJU perumahan, Seni Bahagia Sdn Bhd melancarkan projek perumahan terbaharu mereka, Ferringhi Hills yang terletak pada 30.48 meter dari aras laut di kawasan strategik di Batu Ferringhi.
Pengarah Urusan Seni Bahagia Sdn Bhd, Albert Chuan berkata, perumahan mewah eksklusif teres tiga tingkat yang mengandungi 32 unit itu kini 80 peratus sudah terjual kepada pembeli yang kebanyakkan terdiri daripada pembeli tempatan.
Menurutnya, setiap unit rumah berkenaan yang berkeluasan 3,255 kaki persegi itu dijual antara RM1.4 hingga RM1.88 juta mengikuti spesifikasi tertentu.
"Rumah ini direka untuk memenuhi keperluan fleksibiliti moden dengan studio di tingkat bawah yang boleh diubah menjadi gimnasium, pejabat, bilik hiburan atau ruang kediaman tambahan," katanya selepas Majlis Pelancaran Ferringhi Hills di sini pada Khamis.
Majlis itu disempurnakan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.
Tambahnya, projek perumahan tersebut merupakan fasa keempat milik syarikat berkenaan yang mana, tiga fasa projek perumahan yang lain, turut dibina sekitar Batu Ferringhi.
"Projek ini dijangka menjadi mercu tanda baharu di kawasan pesisiran pantai Pulau Pinang, dengan menawarkan kediaman eksklusif yang menggabungkan keindahan alam semula jadi dan gaya hidup moden. Ia direka dengan konsep moden tropika.
"Lokasi projek ini menawarkan pemandangan laut dan kehijauan bukit yang menakjubkan, menjadikannya pilihan ideal untuk mereka yang mencari kediaman yang memberikan ketenangan dan kemewahan," katanya.
Mengulas lanjut, Albert berkata, projek tersebut mencerminkan komitmen syarikat tersebut untuk menyediakan kediaman berkualiti tinggi yang memenuhi kehendak pembeli moden, sambil mengekalkan elemen kelestarian dan keharmonian dengan alam semula jadi.
"Projek ini terletak di lokasi strategik yang berdekatan dengan tarikan pelancongan seperti pantai Batu Ferringhi, Taman Negara Pulau Pinang dan akses mudah ke George Town, menjadikan Ferringhi Hills sebagai pelaburan hartanah yang berpotensi tinggi.
"Seni Bahagia menekankan komitmen dalam pembinaan rumah terhadap kualiti pembinaan, dengan projek ini mematuhi piawaian QLASSIC dan CREAM yang ketat.
"Seni Bahagia percaya bahawa rumah adalah lebih daripada sekadar tempat tinggal. Ia adalah ruang untuk membina kenangan dan memperkukuhkan komuniti. Oleh itu, kami sentiasa memastikan setiap projek kami memenuhi standard kualiti tertinggi,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, projek itu turut mendapat manfaat daripada peningkatan infrastruktur di kawasan Batu Ferringhi, termasuk pembangunan projek Laluan Berkembar Persisir Pantai Utara (Pakej 1) yang akan memperbaiki aksesibiliti ke kawasan ini.
"Laluan tersebut dijangka meningkatkan daya tarikan Batu Ferringhi sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan hartanah dan pelancongan," katanya.