JOHOR BAHRU - Polis Johor memberikan amaran supaya orang ramai tidak menyebarkan rakaman video berhubung insiden seorang lelaki yang ditembak di depan sebuah restoran di Taman Setia Indah di sini, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, orang ramai juga digesa agar tidak melakukan spekulasi atau menyebarkan maklumat salah kerana ia dibimbangi mengganggu siasatan atau menyebabkan keresahan.
"Jangan sebarkan khabar angin atau buat spekulasi liar yang akan membawa kepada ketakutan yang tidak perlu," katanya pada sidang akhbar di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Khamis.
Dalam masa sama, Kumar turut memberikan jaminan kepada orang ramai bahawa kejadian tembakan itu sebagai insiden terpencil dan tidak membabitkan kebimbangan keselamatan yang lebih meluas di Johor.
Untuk rekod, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 40 tahun meninggal dunia akibat ditembak dalam insiden berkenaan.
Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), selama 30 saat menunjukkan seorang lelaki memakai jaket biru muda, topi keledar hitam dengan penutup penuh, menyarung beg dan sarung tangan dilihat berjalan ke arah seorang lelaki sedang bercakap di telefonnya di hadapan restoran.
Klip video tanpa audio itu merakamkan suspek menghampiri mangsa dari belakang sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa.
Suspek dilihat terus melepas tembakan walaupun mangsa rebah dan selepas itu melarikan diri dari tempat kejadian.
Susulan itu, kejadian berkenaan membawa kepada spekulasi dalam kalangan netizen iaitu suspek kemungkinan merupakan pembunuh upahan.