SEPANG - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis berkata, Indonesia telah menyatakan komitmen untuk membantu dan memberi kerjasama kepada Malaysia dalam Kepengerusian ASEAN tahun ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu dinyatakan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dalam pertemuan tertutup semasa majlis makan tengah hari yang diadakan di ibu negara pada Khamis.
"Kunjungan rasmi Prabowo pada 27 Januari ini, tetapi beliau rasa nak datang (hari ini) kerana kita sahabat lama dan kita perlu berbincang dari hati ke hati isu bersama.
"Hasrat beliau (adalah) untuk bekerjasama serta membantu saya dalam Kepengerusian ASEAN," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selepas menghantar Prabowo pulang ke Indonesia yang menamatkan lawatan kerja sehari ke Malaysia.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula bulan ini dengan Tema Kepimpinan ASEAN 2025 Malaysia adalah 'Keterangkuman dan Kelestarian'. Sebelum ini Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Anwar berkata, semasa pertemuan tidak rasmi itu, mereka turut berbincang mengenai hubungan dua hala, khususnya bagi meningkatkan hubungan perdagangan, pelaburan, kerjasama perbatasan serta beberapa isu berbangkit.
"Tentunya pertemuan ini lebih banyak (perbincangan) tidak rasmi. Kedua-dua kami berasa harus dilakukan sesuatu yang lebih untuk meningkatkan hubungan perdagangan, pelaburan, kerjasama perbatasan serta menyelesaikan beberapa masalah berbangkit,” katanya.
Terdahulu, Anwar dan Prabowo yang menaiki kenderaan sama, tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada jam 1.10 tengah hari.
Sebelum menaiki pesawat khas membawa presiden negara Indonesia itu jam 1.20 petang, Prabowo melintasi barisan kawalan kehormatan 28 pegawai serta anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat), diketuai Kapten Raja Azri Syahir.
Hadir sama, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono.
Wisma Putra dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan lawatan itu adalah cerminan hubungan istimewa antara Malaysia dan Indonesia yang ditunjangi oleh kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosio-budaya, pertahanan dan keselamatan.
Pada 2023, Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion).
Sejak Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan dua hala telah mencecah RM95.50 bilion (AS$20.75 bilion) berbanding RM94.37 bilion (AS$20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada 2023.
Sementara itu, Anwar dalam hantaran di akaun Facebooknya berkata, semasa jamuan makan tengah hari tertutup, beliau dan Prabowo turut berbincang mengenai pengambilan tenaga kerja Indonesia, kordinasi nelayan di kawasan pertikaian Selat Melaka, sosiobudaya, pertahanan dan keselamatan.
Beliau berkata, dalam ruang lingkup singkat dan bermakna itu juga mereka manfaatkan sepenuhnya bagi terus mempereratkan lagi hubungan yang terjalin selama ini.
"Insya-ALLAH saya percaya sinergi pertemuan ini akan digunakan bagi meneroka peluang baharu untuk dimanfaatkan demi masa depan lebih baik untuk kedua-dua negara," kata Anwar. - Bernama