[VIDEO] KPT bangunkan sistem kemasukan pelajar antarabangsa

Iklan

JOHOR BAHRU - Sistem kemasukan pelajar antarabangsa akan dibangunkan Kementerian Pedidikan Tinggi (KPT) yang merupakan antara 10 agenda transformasi pendidikan tinggi negara, pada tahun ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, satu jawatankuasa sudah dibentuk dengan perbincangan awal mencari formula dan kaedah terbaik agar sistem baharu berkenaan dapat dilaksanakan.

Iklan
Iklan

"Sistem pemusatan pelajar antarabangsa ini akan menggunakan sistem algoritma dan teknologi 'block chain' yang dibangunkan.

"Sistem ini membolehkan pengesahan segera kelayakan dan sijil dikemukakan pelajar antarabangsa dapat dilakukan. Malaysia akan bekerjasama dengan negara asal pelajar antarabangsa yang membuat permohonan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Naib Canselor UTM, Dr Mohd Shafry Salim.

Iklan
Zambry berucap semasa Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, menerusi sistem berkenaan kemasukan pelajar antarabangsa lebih mudah dengan kelayakan dan sijil mereka dapat dikenalpasti.

Katanya, ketika ini, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memantau kemasukan pelajar antarabangsa ke negara ini namun prosesnya memakan masa dan agak panjang kerana perlu membuat pemeriksaan balas ke negara asal pemohon.

"Oleh itu, KPT mahu pastikan sesiapa yang datang belajar ke negara kita, dari segi kelayakan dan sijil yang digunakan mestilah sahih dan sah.

"Isu ini bukan hanya babitkan Malaysia malah negara lain ada membincangkannya pada persidangan pendidikan tinggi antarabangsa yang diadakan di Sarawak, baru-baru ini.

"Kebimbangan kami bagaimana nak memastikan permohonan (pelajar antarabangsa) yang masuk dan belajar ke negara bukan hanya Malaysia malah negara lain dapat disahihkan dan sahkan dari segi kelayakan dan sijil-sijil dikemukakan," katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, desi libat urus bersama 8,000 pemegang taruh sektor pendidikan tinggi akan diadakan bagi mendapatkan maklum balas mengenai Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035 yang sedang dirangka.

Jelasnya, pelan itu yang dirangka itu cukup penting bagi memberikan impak yang baik kepada hala tuju pendidikan tinggi dalam tempoh 10 tahun akan datang mengikut keperluan semasa.

"Sejajar dengan transformasi agenda pendidikan tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menyiapkan pelan pendidikan 2025-2035.

"Tahun ini amat penting kerana kita akan bentangkan pelan jangka masa panjang KPT untuk tempoh 10 tahun akan datang.

"Oleh itu, jawatankuasa mengenai pelan pendidikan ini telah pun mengadakan beberapa siri perbincangan libat urus membabitkan 8,000 pemegang taruh bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPT menggariskan tujuh fokus utama hala tuju pendidikan 2025 selari dengan Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035.

Zambry berkata, lima daripada tujuh fokus utama adalah lanjutan fokus tahun lalu.

"KPT menggariskan tujuh fokus utama iaitu lanjutan daripada tahun lalu sebanyak lima fokus dan kali ini kita tambah lagi dua kerana kita menyasarkan fokus yang diberikan tahun lalu perlukan satu kesinambungan.

"Lima fokus tahun lalu ialah Penyediaan Bakat Terbaik Negara, Kewibawaan Akademia dan Warga Kampus, Pemindahan dan Perkongsian Ilmu, Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi serta Governan Dan Kepemimpinan.

"Manakala penambahan dua fokus baharu ialah Kemampanan Kewangan IPT dan Infrastruktur, Digital Dan Kesejahteraan Kampus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, 10 agenda transformasi pendidikan tinggi yang menjadi tunjang utama ialah kaji semula kenaikan pangkat KPT, kenaikan pangkat ahli akademik di IPT, kebebasan bersuara di universiti (Akta 605), mengkaji semula akta institusi pengajian tinggi swasta (Akta 555) dan pindaan Akta 550 bagi politeknik dan kolej komuniti.

Tambahnya, lima yang lain ialah mewujudkan unit RDICE di setiap IPT, mengkaji beban kerja ahli akademik, mengkali IPT letak dibawah kerajaan negeri, struktur semula pejabat Education Malaysia (EM) dan pemusatan kemasukan antarabangsa.