Rumah, kedai jadi 'lubuk' bitcoin

Iklan
Norhizam (dua dari kanan) menunjukkan antara peralatan bitcoin yang dirampas menerusi serbuan di sekitar Sepang, pada Rabu.

SEPANG - Rumah kediaman dan kedai yang dijadikan sebagai markas pengoperasian perlombongan mata wang digital bitcoin di sekitar daerah ini berjaya dibongkar polis, pada Rabu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, lima premis telah diserbu dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bermula kira-kira jam 12 tengah hari di sekitar Dengkil, Bandar Baru Salak Tinggi serta Putra Perdana.

Katanya, tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun dipercayai terlibat dalam aktiviti ini.

Iklan

"Kita telah merampas mesin bitcoin bernilai RM121,800, peralatan elektronik serta dua kenderaan.

"Siasatan mendapati premis sewa terbabit melakukan penyambungan bekalan elektrik secara haram yang menyebabkan kerugian berjumlah RM384,806," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini pada Khamis.

Iklan
Norhizam menujukkan antara kabel yang dirampas membabitkan kes di Uniten, Disember lalu.

Beliau berkata, kegiatan ini dipercayai telah aktif sejak empat bulan lalu dan suspek berperanan sebagai penjaga premis.

Tambahnya, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan polis sedang giat menjalankan pemantauan bagi membendung aktiviti haram sebegini yang jelas melanggar undang-undang selain memberi ancaman kepada nyawa serta harta benda.

Dalam kes berasingan, kata Norhizam, sepanjang Disember lepas, pihaknya telah menumpaskan kegiatan curi kabel di kawasan kampus Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kajang.

"Tiga lelaki berusia 30 hingga 45 tahun yang memiliki rekod jenayah dan dadah telah diberkas.

"Siasatan mendapati suspek mencuri kabel bawah tanah melibatkan 14 mainhole sepanjang kira-kira 2 kilometer membabitkan kerugian RM250,000," katanya.

Jelasnya, taktik kumpulan ini ialah menggunakan kereta sewa atau kenderaan bukan milik mereka bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.

"Kesemua suspek telah dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sepang dan telah dijatuh hukum penjara enam bulan," ujarnya.