[VIDEO] PBS, STAR tidak berminat jalin kerjasama dengan Warisan - Masidi

Iklan

KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melihat tawaran Parti Warisan (Warisan) untuk bekerjasama dengan dua parti tempatan di bawah GRS tidak mendapat sambutan setakat ini.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Masidi Manjun, berdasarkan kenyataan dibuat pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku menunjukkan mereka tidak berminat mengenai tawaran tersebut.

Iklan
Iklan

"Ini pilihan mereka (Warisan berminat kepada PBS dan STAR). Tapi apa yang saya nampak, setakat ini daripada ucapan kedua-dua parti nampak gayanya mereka pun tidak minat.

"Jadi kalau sama-sama tidak minat, tiada apa-apa yang boleh dibincangkan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kepala Singa Kepada Masyarakat Tiong Hua Sabah, di Dewan Hakka, Likas, pada Khamis.

Iklan

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin Warisan hanya berminat kepada dua parti tersebut tetapi bukan kepada Gagasan Rakyat yang terpalit dengan isu integriti.

Masidi ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Kepala Singa Kepada Masyarakat Tiong Hua Sabah di Dewan Hakka, Likas, Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai isu integriti disentuh Warisan, Masidi yang turut terpalit dalam video didedahkan sebelum ini memberi kepercayaan penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalani siasatan.

Iklan

"Saya rasa kita harus mempunyai kepercayaan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

"Saya gembira bekerjasama malah saya sendiri datang secara sukarela kepada SPRM untuk memberikan kenyataan tanpa menunggu mereka memanggil saya kerana tiada perkara yang mahu disembunyikan," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengatakan GRS menolak pelawaan untuk bekerjasama, Masidi menjelaskan bahawa beliau secara peribadi tidak tahu mengenai perkara itu.

"Perkara ini sudah dijawab oleh beberapa pemimpin GRS. Saya tidak tahu, secara peribadi saya tidak tahu menahu ada jemputan daripada mereka untuk perbincangan," katanya.